“Terdapat sedikit salah faham” – Video lelaki OKU tular rupanya ada ‘plot twist’

“Terdapat sedikit salah faham” – Video lelaki OKU tular rupanya ada ‘plot twist’
Kisah seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) tanpa sebelah kaki yang videonya tular di laman media sosial mendapat perhatian Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk).
Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, Syamsul Hazeman Md Salleh berkata, berdasarkan rekod, individu tersebut, Jefree Regan, 49, sedang menerima bantuan bulanan secara tetap daripada MAIPk sejak tahun 2016.
Menurutnya, lelaki itu juga sering menerima bantuan kecemasan secukupnya setiap kali hadir ke pejabat hampir setiap minggu.
“Menurut rekod MAIPk, Jefree Regan merupakan salah seorang daripada 13,000 asnaf yang sedang menerima bantuan kewangan secara tetap bulanan daripada MAIPk sejak 2016.
“Beliau juga termasuk penerima sumbangan tambahan sempena sambutan Aidilfitri dan Aidiladha 2025 yang lalu.
“Kisah sebenar di sebalik kehidupan beliau tidak wajar kami dedahkan bagi menjaga maruah dan amanah harta zakat antara muzakki (pembayar zakat) dan asnaf (penerima zakat),” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Syamsul Hazeman berkata, pihaknya sentiasa komited dalam menyalurkan bantuan secara berterusan dan bersasar kepada golongan asnaf yang layak dan memerlukan.
Menurutnya, MAIPk mengucapkan penghargaan kepada individu dan orang awam yang sentiasa cakna terhadap golongan asnaf di Perak.
“MAIPk sentiasa menekankan prinsip keadilan dalam pengagihan zakat serta bekerjasama rapat dengan agensi-agensi berkaitan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi memastikan kebajikan golongan asnaf dan OKU terus terbela.
“MAIPk juga menyarankan agar masyarakat mendapatkan maklumat daripada saluran rasmi dan tidak menyebarkan sebarang maklumat yang belum disahkan kesahihannya bagi mengelakkan kekeliruan serta menjaga nama baik semua pihak,” katanya.
Penduduk kampung lelaki kurang upaya (OKU) yang tular dibantu seorang individu tampil memberi penjelasan mengenai keadaan sebenar.
Menerusi kenyataan yang dikongsikan oleh akaun Storiemy_ memaklumkan Jafree masih mempunyai adik-beradik yang sentiasa menjaganya untuk menjalani kehidupan harian seperti biasa. Malah, penduduk juga memberi bantuan.
“Seluruh kampung Jafree sebenarnya telah lama berusaha membantunya. Dahulu, dia pernah melalui jalan yang salah, tetapi mereka tetap menyokongnya.
“Terdapat sedikit salah faham semasa rakaman video dijalankan. Jafree masih mempunyai adik beradik yang menjaganya dan menyokongnya untuk terus menjalani kehidupan yang lebih baik.
“Walaupun ibu bapanya telah meninggal dunia, ia bukan disebabkan kebakaran. Adik beradiknya sangat baik kepadanya, namun Jafree masih dalam proses untuk pulih secara mental daripada tempoh sukar,” tulisnya.
Sebelum ini, tular di aplikasi TikTok mengenai kisah hidup Jefree yang mendapat perhatian warganet termasuk beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).