“Orang yang tendang motosikal punca saya dipukul” – Lelaki OKU dibelasah akhirnya bersuara
“Orang yang tendang motosikal punca saya dipukul” – Lelaki OKU dibelasah akhirnya bersuara
“Tanya orang yang tendang motosikal saya… orang itulah punca motosikal saya terbabas dan terlanggar gerai mi goreng,” kata lelaki Orang Kelainan Upaya (OKU) kategori ketidakupayaan mental, Ahmad Nor Al Faizan Jusoh.
Ahmad Nor Al Faizan, 47, sebelum ini mencuri perhatian apabila video memaparkannya dibelasah teruk sekumpulan individu di pasar pagi berhampiran Padang Astaka, di Chukai, di sini, baru-baru ini tular di media sosial.
Mengulas lanjut, katanya kemalangan berlaku itu punca menyebabkan dia dibelasah teruk dalam kejadian terbabit.
Sebelum kejadian, katanya dia melalui kawasan itu untuk menghantar nasi minyak yang dikirim seorang rakan.
“Saya tunggang motosikal meninjau jualan peniaga di sekitar tempat terbabit dan ketika pusingan kali ketiga, tiba-tiba ada orang menendang motosikal saya dari belakang.
“Ketika terjatuh itulah saya dipukul, ditendang dan diheret dengan teruk…. sampai hari ini saya tertanya-tanya mengapa mereka tergamak memukul saya sebegitu rupa,” katanya menurut BH.
Selain dipukul, Ahmad Nor Al Faizan berkata paling sedih dia terbayang saat mukanya dihumban atas mi goreng yang tumpah di atas jalan.
“Sepatutnya ketika saya jatuh mereka angkat motosikal saya, ini tidak mereka memukul saya.
“Saya beberapa kali beritahu tak guna pukul saya kerana saya tidak sengaja dan mereka sepatutnya cari siapa yang tendang motosikal saya,” katanya.
Ahmad Nor Al Faizan berkata, dia beberapa kali merayu kesakitan akibat dipukul dan memohon maaf serta memberitahu ingin menggantikan kerugian peniaga mi goreng itu.
Namun, katanya rayuan itu tidak diendahkan dan dia terus dipukul dengan teruk.
“Ketika dihumban atas mi goreng di atas jalan, saya menahan nafas dan saya cuba menahan muka saya dengan tangan kerana pedih sebelum seorang individu curah mi goreng atas kepala saya.
“Keadaan itu menyebabkan mata saya sangat pedih dan saya ada minta air untuk basuh muka, sebelum sekali lagi kepala disepak,” katanya.
Ahmad Nor Al Faizan berkata, perbuatan mereka yang memukulnya itu sangat kejam dan sepatutnya perkara itu boleh dibincang secara baik, malah dia sendiri bersedia membayar kerugian dialami mereka.
“Selepas keluar hospital saya masih rasa sakit pada bahagian rusuk,” katanya mengakui kejadian itu meninggalkan kesan sangat mendalam kepadanya, selain isteri dan anak.