Lelaki menyesal kahwin dengan janda anak dua

Lelaki menyesal kahwin dengan janda anak dua
Menjalani kehidupan sebagai suami bukan hanya soal memberi nafkah semata-mata, tetapi turut menuntut rasa ingin dihormati dan disayangi sebagai ketua keluarga.
Namun seorang lelaki meluahkan rasa terkilan apabila tahun pertama perkahwinannya bersama ibu tunggal tidak semanis yang diharapkan.
Meskipun hubungan dengan isteri tidak bermasalah besar, cabaran sebenar datang daripada anak-anak tirinya yang masih bersekolah rendah.
“Saya ni sudah setahun kahwin dengan janda anak dua. Anak tiri semua masih bersekolah. Anak-anak tiri jenis tak dengar cakap dan kuat melawan.
“Duit belanja apa semua saya yang tanggung. Tak boleh ditegur langsung. Terus mengadu dengan mak dia. Mak dia pula akan menangkan anak dia,” ujarnya di media sosial.
Pengadu mengatakan dia menjadi lebih sedih apabila mendakwa isterinya tidak memainkan peranan sebagai orang tengah.
Malah, situasi bertambah meruncing apabila anak bongsu kepada isterinya didakwa mula menunjukkan tingkah laku tidak baik.
“Mak dia akan menangkan anak. Sekarang anak dia yang bongsu dah mula panjang tangan, suka curi duit dan kantoi banyak kali.
“Apabila beritahu mak dia, saya kena marah balik. Rasa macam saya ni hanya keluarkan duit untuk tampung nafkah semata-mata.
“Sebagai ketua keluarga saya tak dihormati. Anak bongsu tu memang keras kepala. Tak padan dengan kecil, dah pandai nak caci maki saya,” jelasnya lagi.
Ujar lelaki tersebut, dia kini berasa semakin tertekan dan kecewa dengan keadaan rumah tangga yang dirasakan seperti tiada jalan penyelesaian.
Bukan itu sahaja, dia juga mula terfikir untuk berpisah kerana merasakan seperti tidak lagi dihargai sebagai seorang suami.
Hantaran tersebut mengundang pelbagai reaksi dan cadangan daripada warga maya yang bersimpati dengan nasibnya.
“Lepas ni cakap dekat anak tu tak nak belikan apa-apa dah. Nak apa-apa minta dekat bapa dia atau keluarga bapa dia.
“Keluar je la (dari rumah). Duduk tempat lain buat masa sebulan. Jangan bagi apa-apa. Tengok bezanya,” komen beberapa netizen.