“Cakap rakam satu je video tapi..” – Lelaki kantoi curi rakam kena ‘serang’ dengan sekumpulan wanita

“Cakap rakam satu je video tapi..” – Lelaki kantoi curi rakam kena ‘serang’ dengan sekumpulan wanita
Tindakan seorang lelaki merakam aktiviti sekumpulan empat wanita secara senyap mengundang padah apabila perbuatannya disedari.
Kejadian dipercayai berlaku di sebuah restoran mamak yang tidak dinyatakan lokasi, apabila salah seorang wanita menyedari gerak geri mencurigakan lelaki berkenaan.
“Kawan saya datang dekat dia untuk tanya betul ke tak dia rakam kami. Kemudian, dia cakap tak ada sambil geleng-geleng. Saya memang rasa tak sedap hati. Memang saya teman terjah sekali.
“Lepas tu sekali memang betul dia (ambil) rakaman video kami. Saya pun terus rampas telefon dia sebab risau dia sempat padam atau hantar dekat mana-mana,” katanya.
Dia merupakan salah seorang wanita dalam kumpulan tersebut yang bertindak merakam situasi lelaki itu disergah sebelum merampas telefon bimbitnya dan kemudian berkongsi video kejadian di TikTok.
Menurut wanita itu, selepas disiasat, ternyata benar lelaki tersebut telah merakam video mereka sedang berbual secara diam-diam.
“Bila saya semak telefon dia memang banyak perempuan seksi juga. Dia cakap minta maaf banyak kali dan cakap dia rakam satu je video.
“Tapi wanita-wanita sekalian, jangan tertipu. Kami malas cakap banyak sebab kami pun nak masuk kerja jadi terus gerak balai sebelah mamak ni,” jelasnya lagi.
Cubaan lelaki berkenaan untuk melarikan diri turut digagalkan orang awam yang berada di tempat kejadian.
Difahamkan, seorang lelaki berbaju hijau yang berada di situ bertindak pantas menahan pelaku sebelum membawanya ke balai polis berhampiran.
“Dia sebenarnya nak lari tinggalkan telefon dia tapi abang baju hijau (orang awam) tahan dia dan heret tarik ke balai. Terima kasih abang baju hijau,” katanya lagi.
Setakat ini, masih belum ada kenyataan rasmi daripada pihak berkuasa berkenaan tindakan lanjut yang akan diambil terhadap lelaki tersebut.