Lelaki ini jadi ‘jutawan ekspres’, menang RM1 juta
Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada siapa yang tahu.
Peribahasa itu cukup tepat menggambarkan tuah dua pemegang akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) di Sarawak yang memenangi Cabutan Bonanza Sijil Simpanan Premium (SSP) bagi Jun lalu.
Pemenang Jutawan BSN SSP Ke-101, Jonatan Labo, 62, yang menerima hadiah daripada Naib Presiden Kanan BSN, Aizurra Melissa Muzammil pada majlis di sini, hari ini berkata, dia hanya membeli SSP pada April lalu walaupun membuka akaun BSN sejak 2019.
Beliau berkata, pada mulanya dia mahu menambah pelaburan Amanah Saham Bumiputera (ASB), namun kerani di gereja tempat beliau bertugas menyarankan supaya membeli SSP.
“Kerani itu kata, mungkin saya antara rakyat Malaysia bertuah jika saya membeli SSP dan saya pun membeli SSP dengan nilai RM10,000.
“Ternyata apa yang disebutnya itu benar dan menjadi kenyataan apabila saya memenangi cabutan Jutawan BSN kali ini,” katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan hadiah kemenangan oleh BSN di sini, hari ini.
Jonatan yang bertugas sebagai Pengerusi Pastor Borneo Evangelical Mission (BEM) Daerah Ulu Trusan, Lawas berkata, pada mulanya dia memang tidak mengetahui memenangi cabutan itu kerana capaian telekomunikasi di kampungnya di Long Semadoh di pedalaman Lawas, tidak stabil.
“Saya dimaklumkan oleh anak saudara yang nama saya tersenarai sebagai pemenang utama cabutan itu, tetapi saya was-was dengan apa yang dia beritahu itu.
“Tidak lama selepas itu pegawai BSN berjaya menghubungi saya dan meyakinkan saya bahawa apa yang diberitahu oleh anak saudara itu benar,” katanya.
Jonatan berkata, dia akan menyumbangkan RM100,000 hasil kemenangan itu kepada gereja BEM namun belum ada perancangan untuk baki RM900,000 lagi.
“Mungkin akan terus membeli SSP ataupun menambah pelaburan ASB,” katanya yang ditemani isterinya, Sinang Kuyad, 65, ke majlis itu.
Sementara itu, pemenang cabutan wilayah bagi Jun yang menawarkan hadiah kereta Perodua MyVi, Peter Ngumbang Guyu, 60, pula berkata, dua hari sebelum cabutan SSP itu, dia bermimpi makan buah anggur bersama Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Abang Openg.
“Saya memberitahu isteri mengenai mimpi itu, tetapi dia kata itu biasa sahaja kerana mimpi mainan tidur. Tidak lama selepas itu, saya menerima tiga panggilan daripada nombor yang tidak dikenali tetapi saya tidak menjawabnya kerana bimbang itu panggilan ‘scammer’.
“Selepas saya tidak menjawab panggilan itu, saya terima pula mesej Whatsapp yang disertai dengan gambar kad perniagaan seorang wanita yang tertera sebagai pegawai BSN dan selepas itu dia meminta empat digit terakhir Mykad saya,” katanya.
Menurut Peter, walaupun wanita itu mengucapkan tahniah dan memberitahu memang sah saya adalah pemenang, namun beliau masih tidak mempercayainya.
“Wanita itu kemudian meminta saya menyemak laman web BSN dan saya meminta anak saya menyemaknya.
“Anak saya kata memang betul ada nama saya, namun saya masih ragu-ragu dan isteri menyarankan saya pergi ke BSN di Satok untuk mendapatkan kepastian,” katanya.
Pesara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang berasal dari Betong itu berkata, selepas disahkan oleh pegawai BSN di Satok itu akhirnya beliau percaya dan menyedari itulah tafsiran mimpinya sebelum ini.
Peter berkata, beliau membeli SSP dengan nilai RM20,000 sebulan selepas beliau bersara pada September 2022.
“Ternyata tidak sia-sia saya menyimpan di BSN dan membeli SSP,” katanya.