“Tiada tawar-menawar” – Lelaki dari Melaka beli peti ais 42 tahun pada harga RM20,000

“Tiada tawar-menawar” – Lelaki dari Melaka beli peti ais 42 tahun pada harga RM20,000

 

“Tiada tawar-menawar” – Lelaki dari Melaka beli peti ais 42 tahun pada harga RM20,000

Niat asal Mohamad Azli Bidin memuat naik video bersama peti ais lama sekadar untuk perkongsian di TikTok, namun siapa sangka, ada yang berminat hingga sanggup membelinya pada harga RM20,000.

Lantaran itu, Mohamad Azli, 43, melepaskan juga peti ais kesayangannya yang sudah berusia lebih 40 tahun.

Perkongsiannya di TikTok mengenai peti ais itu meraih lebih 1.5 juta tontonan dengan reaksi bercampur baur daripada warganet

Bercerita lanjut, Mohamad Azli yang juga pembuat jamu herba, pekebun dan usahawan berkata, peti ais model ‘Singer’ itu masih berfungsi serta mempunyai nilai sentimental kerana dia membesar dengannya.

“Usia peti ais itu mencecah 42 tahun, ia hanya ada satu pintu dan tak silap saya, arwah ayah beli pada harga kira-kira RM300.

“Umur saya pun hampir menyamai usia peti ais itu dan ia bukan sekadar barangan lama, tetapi saksi perjuangan serta simbol usaha untuk saya keluar daripada kesusahan.

“Boleh dikatakan, ia satu daripada barangan kesayangan. Saya sekadar berkongsi video hendak jual peti ais itu pada harga RM20,000 sebagai content (perkongsian) untuk mengimbau nostalgia lama, tidak sangka ada yang serius mahu membelinya,” katanya dihubungi Harian Metro.

Menurut Mohamad Azli, kurang sehari, video dimuat naiknya itu meraih tontonan tinggi hingga tular di TikTok.

“Ramai yang DM (hantar kiriman mesej) dan ada tiga individu menyatakan minat untuk membeli peti ais itu.

“Saya jual kepada seorang lelaki dari Melaka yang juga pengumpul barangan antik kerana dia yang pertama kirim mesej.

“Lelaki itu juga setuju dengan harga jualan, tiada tawar-menawar, malah dia ambil peti ais pada hari sama. Saya lepaskan juga peti ais itu bukan kerana perlukan wang, saya harap ia dapat mencipta nilai di tempat lain dengan pemilik baru,” katanya.

Mohamad Azli berkata, sebahagian wang hasil jualan itu akan digunakan untuk membantu individu memerlukan.

Berkaitan reaksi warganet, Mohamad Azli berkata, dia menerima semua pandangan dilontarkan, baik yang positif mahupun negatif.

“Saya turut baca komen dilontarkan, ada yang positif kerana faham nilai barangan lama.

“Tapi, ada juga kecaman, mereka kata saya ‘gila’ kerana nak jual peti ais yang dianggap buruk dengan harga tak masuk akal.

“Saya okey saja kerana faham setiap daripada kita mempunyai pandangan berbeza. Barangan lama memang ada peminatnya tersendiri dan buktinya, peti ais berkenaan terjual,” katanya.