Lelaki buat laporan palsu konon disamun, takut isteri marah gaji habis bagi wanita lain

Lelaki buat laporan palsu konon disamun, takut isteri marah gaji habis bagi wanita lain

 

Bimbang dimarahi isteri selepas wang gaji habis dibelanjakan termasuk dipinjamkan kepada seorang rakan wanita, seorang pengawal keselamatan membuat laporan palsu kononnya disamun dua lelaki, pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan, berkata tembelang lelaki berusia 65 tahun itu terbongkar selepas polis menjalankan siasatan sebaik menerima laporannya.

Beliau berkata, lelaki itu yang bertugas di kawasan perindustrian Teluk Kalong sebelum itu membuat laporan di Balai Polis Chukai, kira-kira jam 8 pagi.

“Lelaki itu mendakwa mengeluarkan wang di sebuah stesen minyak di Kijal sebelum pulang ke rumahnya di Teluk Kalong.

“Dia kemudian memaklumkan kereta dipandunya ditahan seorang lelaki Rohingya yang meminta tolong menghantar rakannya yang terbaring ke klinik sebaik tiba di Jalan Perindustrian Telok Kalong.

“Ketika turun dari kenderaan dan pergi melihat lelaki yang terbaring itu, lelaki Rohingya yang menahan keretanya mengacukan pisau di belakang manakala lelaki yang terbaring bangun dan mengacukan parang di perutnya,” katanya.

Hanyan berkata, lelaki Rohingya terbabit kemudian mengambil wang tunai RM1,100 dalam poket mangsa dan terus melarikan diri dengan menunggang sebuah motosikal berwarna merah.

Katanya, hasil siasatan pihak polis, lelaki terbabit akhirnya mengaku bahawa kejadian samun itu tidak pernah berlaku.

“Dia membuat laporan polis kerana terdesak dan takut memberitahu kepada isterinya yang wang gajinya habis digunakan termasuk wang nafkah kepada isterinya,” katanya.

Katanya, lelaki terbabit juga mengaku meminjamkan wang gajinya kepada seorang kenalan wanita yang dikenali sejak tiga tahun lalu.

“Siasatan lanjut mendapati pengawal keselamatan itu tidak mempunyai rekod lampau dan kes disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan,” katanya.