Lelaki berlakon menangis histeria rupanya bunuh isteri sendiri

Lelaki berlakon menangis histeria rupanya bunuh isteri sendiri
Drama air mata seorang lelaki yang kononnya kehilangan isteri dalam kejadian rompakan akhirnya terbongkar sebagai satu helah kejam untuk menutup jenayahnya sendiri.
Insiden melibatkan Wadison Pasaribu, 37, yang sebelum ini mengundang simpati masyarakat setempat di Serang, Banten, Indonesia, kini menjadi tumpuan selepas siasatan pihak berkuasa mendedahkan bahawa dia berpura-pura menjadi mangsa rompakan.
Mangsa, Petry Sihombing, 35, ditemukan mati di bilik tidur mereka di Kompleks Perumahan Puri Anggrek, Walantaka, Kota Serang, pada hujung minggu lalu.
Sementara itu, Wadison ditemui masih hidup di dalam sebuah karung, dalam cubaan meyakinkan pihak berkuasa dan jiran bahawa mereka sekeluarga telah dirompak.
Dalam satu video tular yang dikongsikan oleh akaun Instagram @medsos_rame, Wadison dilihat menangis seperti histeria di sisi jasad isterinya sambil memegang pakaian mangsa, menjadikan tragedi itu kelihatan lebih menyayat hati.
Namun, polis kemudian mengesahkan bahawa lelaki itu sebenarnya membunuh isterinya kerana ‘kantoi’ berlaku curang.
Menurut siasatan, selepas mengikat mayat isterinya dan memasukkan dirinya sendiri ke dalam karung, Wadison telah mengarahkan anak mereka yang berusia tujuh tahun untuk meminta pertolongan daripada jiran.
Jiran mereka, Siti Maryam, berkata, pembunuhan itu terbongkar apabila anak pasangan tersebut menceritakan perkara sebenar semasa disoal siasat oleh pihak polis.
“Anaknya mengaku diminta bapanya supaya meminta bantuan jiran,” ujarnya.