Lelaki berkahwin berisiko ‘obes’ tiga kali ganda berbanding bujang

Lelaki berkahwin berisiko ‘obes’ tiga kali ganda berbanding bujang
Lelaki yang sudah berkahwin didapati berisiko tiga kali ganda mengalami obesiti berbanding mereka yang masih bujang, manakala wanita tidak menunjukkan peningkatan risiko tersebut, menurut kajian terbaharu.
Kajian yang dijalankan oleh Institut Kardiologi Kebangsaan di Warsaw, Poland itu mendapati perkahwinan berkemungkinan meningkatkan berat badan berlebihan sebanyak 62 peratus dalam kalangan lelaki dan 39 peratus dalam kalangan wanita.
Sebelum ini, kajian oleh Universiti Bath mendapati lelaki berkahwin secara purata 1.4 kilogram lebih berat berbanding lelaki bujang.
Selain perkahwinan, usia juga menjadi faktor utama kenaikan berat badan dimana setiap pertambahan usia setahun meningkatkan risiko berat badan berlebihan sebanyak tiga peratus dalam kalangan lelaki dan empat peratus dalam kalangan wanita, manakala risiko obesiti meningkat empat peratus dalam kalangan lelaki dan enam peratus dalam kalangan wanita.
Kajian turut menunjukkan beberapa faktor khusus mempengaruhi risiko obesiti dalam kalangan wanita antaranya ialah mereka yang mengalami kemurungan berisiko dua kali ganda menjadi obes, manakala tahap literasi kesihatan yang rendah juga merupakan antara faktor peningkatannya sebanyak 43 peratus.
Pengarah Obesity Health Alliance, Katharine Jenner berkata kajian ini menunjukkan lelaki lebih cenderung menambah berat badan selepas berkahwin disebabkan saiz hidangan yang lebih besar, makan secara sosial dan penurunan aktiviti fizikal berbanding dengan wanita yang mungkin lebih peka kerana tekanan masyarakat.
“Kita memerlukan dasar yang memudahkan pilihan gaya hidup sihat melalui persekitaran makanan yang lebih baik, pendidikan dan sokongan di setiap peringkat kehidupan,” katanya.
Pakar runding di Men’s Health Forum, Jim Pollard, bagaimanapun memberi amaran agar tidak membuat kesimpulan melulu daripada kajian tersebut.
“Kenaikan BMI dalam kalangan lelaki berkahwin boleh berpunca daripada tekanan kerja dengan waktu yang panjang dan pengambilan makanan tidak sihat. Kita memerlukan pendekatan yang lebih khusus untuk menangani obesiti dalam kalangan lelaki dan wanita,” jelasnya.
Beliau turut menggesa kerajaan mempercepatkan pelaksanaan strategi kesihatan khusus untuk lelaki dan wanita bagi menangani isu obesiti dengan lebih berkesan.