Lelaki 59 tahun disangka hilang ditemui selamat di rumah kekasih baru di Thailand

Lelaki 59 tahun disangka hilang ditemui selamat di rumah kekasih baru di Thailand

 

Lelaki 59 tahun disangka hilang ditemui selamat di rumah kekasih baru di Thailand

Seorang lelaki yang disangka menjadi mangsa jenayah selepas akaun Facebook miliknya dipadam secara misteri rupanya sedang menikmati kehidupan bersama teman wanitanya di Thailand.

Brian Dilling Pedersen, 59, tidak menyedari keluarganya di Denmark bimbang tentang keselamatannya selepas menghilangkan diri sejak awal minggu ini.

Polis Thailand melancarkan siasatan selepas laporan kehilangan dibuat oleh keluarga Pedersen di Denmark dan dia dikesan berada di rumah teman wanitanya di Nakhon Si Thammarat.

Difahamkan, dia telah mendaftar keluar dari rumah tamu Ban Chai Khlong dan sejak itu tinggal bersama keluarga teman wanitanya.

“Saya sebenarnya tidak pernah putus hubungan dengan anak saya. Kami ada berbual beberapa hari lalu. Saya tak sangka perbualan itu boleh membuatkan dia risau,” kata Pedersen.

Polis mendedahkan bahawa Pedersen tidak menyedari dirinya dianggap hilang dan tidak berniat untuk melarikan diri.

Dia memohon maaf kepada keluarganya atas segala kebimbangan yang tercetus.

“Saya minta maaf jika keadaan ini menyebabkan keluarga dan rakan-rakan saya di Denmark risau. Tapi keadaan saya sangat baik di sini dan saya sangat bahagia,” tambahnya.

Pedersen turut menjelaskan bahawa akaun Facebook miliknya dipadam selepas ia digodam.

Namun, teman wanitanya memberi penjelasan berbeza dalam bahasa Thai dan menyatakan bahawa akaun tersebut dipadam bagi mengelakkan bekas isteri Pedersen yang tinggal di Sakon Nakhon mengetahui tentang kehidupannya bersama pasangan baharu.

Pedersen memaklumkan bahawa visanya di Thailand akan tamat pada 9 Jun dan merancang untuk pulang ke Denmark pada 8 Jun.

Anak lelakinya, Steven Risager Madsen, menyatakan rasa lega mengetahui perkembangan tersebut.