Lebih 2 juta kenderaan keluar ibu kota, lebih tinggi dari cuti hari raya

Lebih 2 juta kenderaan keluar ibu kota, lebih tinggi dari cuti hari raya

 

Sejak beberapa hari lalu, tidak kira jalan raya utama atau ‘jalan tikus’ didapati berlakunya kesesakan yang melampau sehingga ramai tersangkut sehingga berjam-jam lamanya.

Lembaga Lebuh Raya (LLM) menyatakan perkara tersebut berlaku disebabkan terdapat peningkatan trafik yang lebih  tinggi berbanding musim perayaan, lapor Kosmo.

Menurutnya, hasil dapatan itu adalah daripada pemantauan pusat pengurusan trafik di Lebuh Raya Utara Selatan jajaran Utara dan Selatan serta Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak sempena cuti panjang ini.

Difahamkan bilangan trafik di Lebuh Raya Utara Selatan mencatatkan sebanyak 2.2 juta kenderaan berbanding purata pada musim perayaan sebanyak 2.05 juta kenderaan dalam tempoh 24 jam.

“Begitu juga dengan bagi Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak dan Lebuh Raya Pantai Timur dimana bilangan kenderaan adalah berjumlah 349,000 berbanding purata musim perayaan (342,000).

“Beberapa insiden kemalangan yang berlaku di sesetengah lokasi juga menambah buruk keadaan kesesakan,” katanya ketika dihubungi Kosmo hari ini.

Menurut LLM lagi, trafik akan kekal tinggi, lebih-lebih lagi pada hari-hari terakhir cuti kelepasan am dan cuti persekolahan.

Sementara itu, bagi mengurangkan kesesakan dan menambah kapasiti lorong, LLM dan pihak syarikat konsesi mengaktifkan ‘smartlane’ di beberapa lokasi ‘hot spot’.

Pada masa sama tiada kerja-kerja penyenggaraan lebuh raya dibenarkan untuk mengelakkan masalah kesesakan trafik.

“Selain itu, tiada penutupan lorong untuk kerja penyenggaraan lebuh raya dibenarkan sepanjang cuti persekolahan ini kecuali melibatkan kerja kecemasan,” katanya