Laporan balas PKN Perak berhubung dana RM8.6 juta terhadap Pemuda Dap
Penggerak Komuniti Negara (PKN) Negeri Perak membuat laporan polis hari ini berhubung laporan yang dibuat Pemuda DAP bersama Pemuda Pakatan Harapan pada Khamis.
Setiausahanya, Sharifah Hazlina Syed Musa Jamalullail berkata, tuduhan kononnya dana RM8.6 juta yang disalurkan kepada 11 individu sebanyak RM780,000 setiap seorang adalah tidak benar dan palsu.
Menurutnya, nama mereka yang dikaitkan adalah merupakan jawatankuasa (PKN) Pusat di mana wakil daripada tujuh negeri perlu ada dalam pendaftaran pertubuhan itu bagi memenuhi salah satu syarat Pendaftar Pertubuhan (ROS).
“Tuduhan rambang begini telah menjejaskan reputasi serta kredibiliti pengerusi setiap negeri yang nama mereka turut dikaitkan kerana terlibat sebagai Ahli Jawatankuasa PKN Pusat,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh, di sini, hari ini.
Pada Khamis, Ketua Pemuda DAP Perak, Steven Chaw bersama pucuk pimpinan DAPSY Perak serta Pemuda PH Perak membuat laporan polis berhubung dana RM 8.6 juta kepada Pertubuhan Penggerak Dasar Komuniti Negara Malaysia (PKN).
Beliau berkata, dana yang diberikan itu merupakan satu nilai yang amat besar dan tidak munasabah.
Menurut Sharifah Hazlina, PKN adalah sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang bergerak secara sukarela tanpa sebarang bayaran atau imbuhan seperti yang didakwa oleh pihak pembangkang.
“Kami anggota PKM bergerak sejak November 2018 sebaik sahaja pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) selesai.
“Fokus utama adalah untuk memberikan platform terbaik kepada ahli-ahli dalam PKR yang masih bergiat aktif dalam komuniti setempat walaupun kalah dalam pemilihan parti,” ujarnya.
Katanya, pembangkang hari ini dilihat tidak berhalus dalam mengeluarkan kenyataan dan lebih bersifat membuat serangan peribadi terhadap pemimpin tertentu.
Beliau memberi contoh, baru-baru ini Ketua Pembangkang Sdr Anwar Ibrahim dilihat turut mempertikai kewujudan PKN dan disalahtafsir dengan PeKT (Penggerak Komuniti Tempatan).
Jelasnya, PeKT merupakan inisiatif Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan sebagai sebuah mekanisme yang memberikan fokus kepada perlaksanaan Dasar Komuniti Negara dalam memperkasakan dan memberdayakan komuniti melalui program-program yang dicadangkan, mengikut kesesuaian demografi sesuatu kawasan dan komuniti.
Menurutnya, perancangan perbelanjaan berdasarkan 261 komuniti sebanyak RM2,000 selama 12 bulan merupakan peruntukan perbelanjaan ke atas program-program yang dicadangkan oleh PeKT yang memberi manfaat kepada komuniti setempat.
“Adalah tidak wajar tuduhan melulu dibuat tanpa usul periksa sedangkan perbelanjaan ini telah mendapat justifikasi di antara PeKT dan Sekretariat Muafakat Komuniti (SMK) setiap negeri,” tambahnya.
Sumber: Suara Perak