Lans Koperal mengaku tidak bersalah bunuh Nur Farah Kartini

Lans Koperal mengaku tidak bersalah bunuh Nur Farah Kartini
Anggota polis yang didakwa membunuh graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nur Farah Kartini Abdullah yang mayatnya ditemui di ladang kelapa sawit di Hulu Bernam pada tahun lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Lans Koperal Muhammad Alif Monjani, 27, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara tidak lebih 40 tahun dan sebat tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Dia dituduh membunuh dengan menyebabkan kematian wanita berusia 25 tahun itu di ladang kelapa sawit SKC Kledang, Hulu Bernam, antara jam 9 pagi, 10 Julai hingga 6 petang, 15 Julai 2024.
Hakim Julia Ibrahim kemudian menetapkan 15 Julai depan untuk sebutan semula kes.
Muhammad Alif yang berpakaian baju T tiba di mahkamah dengan dikawal anggota polis dan diwakili peguam, Nur Aida Md Zainuddin serta Aida Jaafar.
Pada 26 Julai 2024, Muhammad Alif didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu atas pertuduhan membunuh pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris itu dan pada 28 Mei, mahkamah berkenaan memutuskan kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk dibicarakan.
Nur Farah Kartini dilaporkan hilang pada 10 Julai 2024 sebelum mayatnya dijumpai lima hari kemudian di ladang kelapa sawit di Kampung Sri Keledang, kira-kira 6 petang.