Langgar lari dua beradik, pemandu pacuan empat roda ditahan
Pemandu pacuan empat roda yang disyaki terbabit dalam kejadian langgar lari sehingga menyebabkan dua beradik meninggal dunia telah berjaya ditahan polis pada Jumaat, lapor Sinar Harian.
Menurut Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintenden Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin, lelaki berusia 50-an itu telah ditahan sekitar jam 1.20 petang oleh anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Balai Polis Salak di sebuah kebun.
“Suspek yang bekerja sebagai kontraktor itu telah ditahan dan ujian awal saringan air kencing mendapati keputusannya adalah negatif.
“Kita juga telah mengambil sampel darah suspek untuk dihantar ke Jabatan Kimia bagi siasatan lanjut. Kenderaan suspek turut dirampas,” katanya.
Beliau berkata permohonan reman akan dibuat pada Sabtu (esok) untuk membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
Mengulas lanjut, suspek yang memandu arah Kuala Kangsar ke Ipoh didapati memasuki simpang ke kanan secara tiba-tiba.
“Kenderaan terbabit telah merempuh motosikal yang dinaiki dua pelajar terbabit menyebabkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.
“Hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa disebabkan polytrauma with suspected neck injury/cervical fracture,” katanya.
Kejadian itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Terdahulu, dua beradik berusia 17 dan 13 tahun dilaporkan maut selepas motosikal yang ditunganggi mereka dirempuh pacuan empat roda dalam kejadian langgar lari di Kilometer 38.9 Jalan Ipoh-Kuala Kangsar, Perak.
Insiden itu berlaku ketika kedua-dua mangsa dalam perjalanan ke sekolah dengan menunggang motosikal jenis Honda EX5.