“Hang tinggal aku..” – Lan Pet Pet menangis reviu ‘Dapur Bakar’ cawangan ke-11 tanpa Man Kulim
“Hang tinggal aku..” – Lan Pet Pet menangis reviu ‘Dapur Bakar’ cawangan ke-11 tanpa Man Kulim
Pelawak, Mazlan Ahmad atau Lan Pet Pet nangis pertama kali membuat reviu pembukaan sebuah restoran tanpa personaliti media sosial, Allahyarham Man Kulim.
Mazlan berkata, ini merupakan kali pertama dia membuat promosi restoran berkenaan tanpa kelibat Man yang sudah dianggap seperti adik sendiri.
“Selalu saya buat reviu mula-mula dulu dengan arwah Man Kulim.
“10 cawangan buat reviu sama-sama tapi kali ini untuk cawangan ke-11 terpaksa buat reviu seorang diri.
“Man hang tinggal aku… Dia orang yang baik, sememangnya adik saya yang terbaik,” katanya.
Menerusi video dimuat naik di platform TikTok pada petang Ahad, Mazlan turut akui rindu yang tiada ubat adalah mereka yang sudah tiada.
Dalam pada itu, dia juga berharap orang ramai sedekahkan bacaan Al-Fatihah dan mendoakan agar arwah Man Kulim atau nama sebenarnya, Burhan Che Mokhtar ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman.
“Kerinduan yang tak akan terubat bila kita merindui sahabat kita yang sudah kembali kepadaNya.
“Apapun jangan lupa sedekahkan al-Fatihah buat arwah,” ujarnya.
Terdahulu, berita tentang pemergian TikToker yang kerap membuat konten ulasan makanan telah mengejutkan pengguna media sosial yang mengikuti perkembangannya.
Difahamkan, Man Kulim telah berada dalam keadaan tidak sihat sejak beberapa hari disebabkan demam dan dikhabarkan meninggal dunia pada 24 Disember lalu.
Jenazah arwah selamat disemadikan di Kuala Muda, Kedah yang merupakan kampung halamannya.