Skim pelaburan emas, pesara swasta ‘lebur’ RM 1.1 juta
Seorang pesara swasta membuat laporan polis di sini semalam, mendakwa kerugian lebih RM1.1 juta selepas diperdaya pelaburan emas yang tidak wujud.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat, pengadu, seorang lelaki berumur 60 tahun, dikatakan berurusan dengan seorang wanita dari negara jiran yang dikenali melalui satu aplikasi ‘dating’.
Menurutnya, wanita berkenaan menawarkan pengadu untuk melabur dalam pelaburan emas yang kononnya menawarkan pulangan lebih RM11 juta (lebih USD 2.7 juta).
“Pengadu telah memasukkan wang secara berperingkat ke dalam lapan akaun yang diberikan oleh suspek bagi tujuan pelaburan emas,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Osman berkata, pengadu yang ingin menunaikan wang keuntungan tersebut telah diberikan satu resit transaksi kemasukan wang ke dalam akaunnya.
Bagaimanapun, katanya, setelah semakan dibuat ke atas akaunnya, pengadu mendapati tiada kemasukan wang dan semakan dengan pihak bank juga mendapati resit transaksi yang diberikan adalah palsu.
Menurutnya, pihak polis masih menjalankan siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Sumber: Suara Perak