Kenapa kucing tiada dalam kalendar Cina? Rupanya ini sebabnya

Kenapa kucing tiada dalam kalendar Cina? Rupanya ini sebabnya

 

Kenapa kucing tiada dalam kalendar Cina? Rupanya ini sebabnya

Dalam kepercayaan masyarakat Cina, setiap tahun dikaitkan dengan 12 haiwan yang menjadi ‘simbol’ tahunan secara bergilir.

Antara haiwan yang terpilih ialah harimau, ular dan kuda, malah terdapat makhluk mitos seperti naga.

Namun begitu, ada satu haiwan kesayangan ramai yang tidak tersenarai — iaitu kucing.

Rupa-rupanya, ketiadaan kucing dalam kalendar Cina dipercayai berhubung kait dengan sebuah legenda lama dalam masyarakat mereka.

Kisah ini bermula dengan seorang pemerintah dikenali “Maharaja Jade”, yang ingin mencipta kalendar untuk membantu rakyatnya mengukur masa.

Difahamkan, beliau memerlukan 12 haiwan sebagai ‘penjaga tahun’, dan untuk memilih haiwan tersebut, satu perlumbaan besar diadakan.

Semua haiwan dijemput menyertai pertandingan ini, dan hanya 12 haiwan pertama yang berjaya menyeberangi garisan penamat akan dipilih.

Mengikut cerita, pada waktu itu Kucing dan Tikus dikatakan sahabat baik.

Kucing yang bimbang akan terlajak tidur pada hari perlumbaan meminta bantuan Tikus untuk mengejutkannya.

Malangnya, Tikus yang licik mempunyai rancangan jahat.

Dia bimbang akan kalah jika Kucing turut serta dalam perlumbaan.

Jadi, Tikus sengaja membiarkan Kucing tidur sepanjang hari tanpa membangunkannya.

Akhirnya, semasa perlumbaan berlangsung, Tikus berjaya mendapatkan tempat pertama dengan bantuan Si Lembu.

Kucing pula langsung tidak hadir ke perlumbaan dan terlepas peluang untuk tersenarai dalam kalendar tersebut.

Namun begitu, tidak dapat dinafikan bahawa terdapat pelbagai versi cerita yang menceritakan tentang bagaimana pemilihan 12 haiwan ini berlaku.

Setiap variasi membawa keunikan tersendiri, tetapi semuanya tetap mengukuhkan tradisi legenda yang diwarisi turun-temurun dalam budaya masyarakat Cina.