Kos perkahwinan di Malaysia antara tertinggi di Asia Tenggara

Kos perkahwinan di Malaysia antara tertinggi di Asia Tenggara

 

Kos perkahwinan di Malaysia antara tertinggi di Asia Tenggara

Majlis perkahwinan di negara ini dijadikan sebagai satu perayaan bagi dua manusia yang bersatu hati untuk selamanya selain berjumpa dengan sanak saudara serta sahabat.

Akan tetapi, ada realiti pahit disebalik majlis perkahwinan di Malaysia yang ramai terlepas pandang ataupun mungkin tidak tahu.

Profesor keusahawanan dan perniagaan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Datuk Dr Nik Maheran Nik Muhammad berkata belanjawan perkahwinan di negara ini melonjak antara RM50,000 dan RM200,000.

Menurut beliau, kos tinggi ini terpaksa dihadapi oleh pasangan yang mahu berkahwin ekoran inflasi, peningkatan kos dari segi katering dan jangkaan masyarakat.

“Perbelanjaan perkahwinan Malaysia adalah antara yang tertinggi di Asean, dengan kos purata antara RM50,000 hingga RM200,000,” katanya.

“Sebagai perbandingan, perkahwinan di Kemboja dan Filipina adalah jauh lebih berpatutan, dengan purata masing-masing sekitar AS$15,000 (RM71,000) dan AS$4,800 (RM22,800).

Penyelidikan menunjukkan bahawa pasangan Cina cenderung untuk memperuntukkan lebih banyak dana untuk tempat mewah dan katering gourmet, manakala pasangan Melayu dan India sering mengutamakan hiasan dan jemputan yang rumit.

Kos perkahwinan yang semakin meningkat memberi kesan kepada semua masyarakat, menyebabkan ramai pasangan terpaksa berhutang untuk membiayai majlis impian mereka.

“Ada yang membuat pinjaman peribadi atau mengumpul hutang kad kredit antara RM30,000 hingga RM100,000.

“Yang membimbangkan, Jabatan Insolvensi Malaysia telah mengaitkan beban kewangan berkaitan perkahwinan dengan peningkatan kes muflis dalam kalangan anak muda Malaysia,” tambahnya.

Dalam masa yang sama, Nik Maheran juga berkata masalah kewangan adalah sebab utama mengapa ramai anak muda Malaysia, terutamanya lelaki Cina, menangguhkan perkahwinan.

“Statistik menunjukkan bahawa kadar perkahwinan dalam kalangan warga Cina Malaysia telah menurun dengan ketara dalam beberapa tahun kebelakangan ini, menurun daripada 9.8 setiap 1,000 pada 2016 kepada hanya 6.6 pada 2022. Trend ini terus menurun pada 2024,” ujarnya.