“Kontraktor ‘enjoy’ makan duit dulu, kerja tak siap” – Datuk Seri Vida

“Kontraktor ‘enjoy’ makan duit dulu, kerja tak siap” – Datuk Seri Vida

 

“Kontraktor ‘enjoy’ makan duit dulu, kerja tak siap” – Datuk Seri Vida

“Sabar, saya sekarang berada di luar negara, balik Malaysia nanti saya jawab dari A sampai Z.”

Demikian kata usahawan kosmetik sensasi, Datuk Seri Vida atau nama sebenarnya, Hasmiza Otman, 53, berhubung dakwaan gagal menjelaskan bayaran baki tunggakan kepada sebuah syarikat kontraktor pembinaan, Ah Design Communication sebanyak RM1,060,285 pada tahun 2018.

Sehubungan itu, empat kereta mewah antara barangan miliknya yang disita di kediamannya di Meru, Ipoh setelah gagal melunaskan tunggakan bayaran ubah suai bangunan kilang miliknya.

Vida yang kini berada di Shanghai, China berkata, sekembalinya ke tanah air, dia akan mengadakan sidang media bagi menjelaskan kemelut yang menghimpit dirinya.

“Sekarang saya cuma boleh cakap, biasanya projek bayar dulu bukan buat dulu baru claim. Dalam kes saya, kontraktor ‘enjoy’ makan duit dulu, kerja tak siap.

“Balik nanti, saya akan buat sidang akhbar untuk menjelaskan perkara ini. Tunggu,” katanya ketika dihubungi Kosmo.

Terdahulu, empat kereta yang disita ialah dua buah Vellfire, satu Toyota Grand Hiace dan sebuah BMW X7, selain semua barangan di dalam rumahnya.

Perintah penyitaan itu dikeluarkan oleh Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Ipoh, Anis Hanini Abdullah selepas membenarkan permohonan Mohammad Taufik Kamarul daripada Ah Design Communication Sdn. Bhd.

Pelaksanaan writ penyitaan dan penjualan dilakukan pada sekitar 9 pagi semalam di kediamannya.

Peguam, Samir Zainal berkata, pihaknya melakukan sitaan selepas mendapat perintah penyitaan dan penjualan daripada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Menurutnya, pihaknya mendapat kerjasama daripada kakitangan Vida sepanjang proses sitaan di rumah usahawan kosmetik terkenal itu, di sini semalam.

“Barangan yang disita melibatkan semua barang dalam rumah kecuali bilik tidur DS Vida sebab pintu berkunci dan kenderaan iaitu dua Vellfire, satu Toyota Grand Hiace dan BMW X7.

“Berdasarkan penyitaan ini, barang ini tidak boleh dikeluarkan dalam tempoh dua minggu,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini hari ini.

Menurutnya, jika DS Vida menjelaskan tunggakan, pihaknya akan melepaskan sitaan.