Muat naik konten ‘crush’ dengan murid sekolah, abang bas ditahan polis

Muat naik konten ‘crush’ dengan murid sekolah, abang bas ditahan polis

 

Pemandu bas crush dengan murid lalu memuat naik video bersama rakaman kanak-kanak itu di dalam bas telah ditahan oleh pihak polis di Simpang Renggam, Johor Bahru pada awal pagi tadi.

Memetik laporan Harian Metro, Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar berkata penahanan pemandu bas berusia 24 tahun itu dibuat sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis (IPD) Kluang kira-kira jam 2.57 pagi.

Dalam pada itu, Kumar juga memaklumkan pihak polis turut merampas telefon bimbit yang dipercayai digunakan untuk memuat naik rakamn video berkenaan di akaun media sosialnya.

“Semalam, Polis Kontinjen Johor mengesahkan menerima laporan polis dan menjalankan siasatan berhubung penularan rakaman video memaparkan kanak-kanak dalam sebuah bas dipandu seorang lelaki.

“Suspek memuatnaik rakaman video ke akaun media sosial TikTok dengan hantaran berkenaan masih wujud dan boleh diakses.

“Siasatan terperinci sedang dijalankan dan polis mengalu-alukan kerjasama daripada ibu bapa kanak-kanak yang terdapat dalam rakaman video itu supaya tampil bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, Kumar berkata pemandu bas tersebut disiasat mengikut Seksyen 15(a)(III) Akta Kesalahan Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 kerana membawa maksud seksual mengikuti atau memerhati atau menghubungi kanak-kanak melalui apa sahaja cara secara berulang atau kerap.

Katanya, suspek turut disiasat mengikut Seksyen 15(2) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana menyiarkan gambar kanak-kanak melalui apa-apa perantara elektronik.

“Bagi kedua-kedua kesalahan, suspek berdepan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya sekali selain denda maksimum RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun, atau kedua-duanya sekali,” ujarnya.

Sehubungan itu, Kumar menasihati ibu bapa untuk sentiasa memantau aktiviti, perkembangan emosi serta fizikal anak-anak supaya perlakuan jenayah seksual terhadap kanak-kanak dapat dikesan selain pelakunya dikenakan tindakan.

Terdahulu, tular di media sosial beberapa hantaran seorang lelaki dipercayai pemandu bas sekolah menggelar seorang penumpang yang dipercayai murid sekolah rendah sebagai orang yang disukainya disamping turut menggelarnya ‘crush’ dan ‘kesayangan’.

Hantaran-hantaran tersebut mengundang kecaman ramai kerana warga maya berpendapat ia tidak sesuai dan dianggap sebagai gangguan seksual terhadap kanak-kanak.

Tindakan merakam video atau foto kanak-kanak tanpa kebenaran ibu bapa melanggar hak serta privasi mengikut Akta Kanak-Kanak 2001.

Menerusi tinjauan di TikTok, pemilik akaun itu mempunyai lebih 600,000 pengikut dan seringkali memuat naik rakaman video ketika memandu bas sekolah dengan wajah pelajar yang jelas kelihatan.