Alasan mahu konsep minimalist, penyewa selamba jual set meja makan pemilik rumah

Alasan mahu konsep minimalist, penyewa selamba jual set meja makan pemilik rumah

 

Alasan mahu konsep minimalist, penyewa selamba jual set meja makan pemilik rumah

Bila bercakap tentang rumah sewa, ada kediaman yang sudah dilengkapi dengan perabot bermula dari ruang tamu sehinggalah ke bahagian dapur.

Namun, ada juga rumah yang hanya dilengkapi sebahagian perabot berkenaan dan selebihnya penyewa perlu membawa sendiri barang mereka.

Sebagai penyewa, sudah pastilah barang yang bukan milik mereka sendiri perlu diguna sebaiknya dan dijaga rapi memandangkan ia disediakan oleh tuan rumah.

Malah, jika berlaku kerosakan atau penyewa mahu membuat sebarang perubahan, mereka seharusnya memaklumkan kepada pemilik barangan tersebut.

Namun, berbeza pula dengan seorang penyewa ini yang dilihat selamba menjual perabot milik tuan rumah yang disewa.

Menerusi video yang dikongsikan oleh tuan rumah berkenaan di TikTok @myszmiza, dia sedang mencari set meja makan yang sama seperti dalam gambar yang dikongsikan.

Dakwa wanita itu, penyewanya telah menjual set meja makan tersebut dan menukarkannya dengan meja makan sendiri.

Difahamkan, tindakan penyewa itu berbuat sedemikian kerana mahu menggayakan rumah dengan konsep ‘minimalist’.

“Bagi sewa pada orang, tahu-tahu dia nak pergi jual dining set kitaorang, then tukar dengan meja makan diorang beli sendiri dengan alasan nak rumah minimalist,” tulisnya pada video berkenaan.

Lebih menyedihkan, dia baru sahaja bercadang mahu menukar kerusi meja makan tersebut namun tidak dapat berbuat demikian dek kerana tindakan penyewa terbabit.

Apa yang turut menjadi perhatian adalah meja makan itu dibeli dengan harga RM1,000 di sebuah kedai perabot terkemuka.

Namun, penyewa berkenaan hanya menjualnya dengan harga jauh lebih murah iaitu RM300.

Kecewa dengan tindakan penyewa berkenaan, wanita itu menetapkan mahu menolak deposit sebanyak RM700.

“Aku tetap nak tolak caj deposit RM700 aku beli harga RM1,000. Dia kata dia dapat jual RM300 je.

“Sekarang dia minta diskaun RM500. Aku cakap ‘tak’. Ini bukan tentang duit, ini tentang ‘jangan suka hati jual barang owner’,” kongsinya lagi.

Menerusi hantaran berasingan, wanita berkenaan berkongsi tangkap layar perbualan WhatsApp bersama suaminya tentang penyewa itu.

Dakwa suami wanita berkenaan, alasan lain yang diberitahu oleh penyewa adalah kerana tiada kerusi yang boleh dijadikan tempat untuk menggantung tuala.

Malah, penyewa itu didakwa terlupa untuk memaklumkan kepada tuan rumah tentang hal berkenaan.

Difahamkan, bulan ini adalah bulan terakhir penyewa berkenaan menyewa kediamannya.

Video yang telah mendapat lebih 175,000 tontonan itu nyata mendapat perhatian pengguna media sosial.

Mengintai ke ruangan komen, majoritinya meluahkan rasa geram dengan tindakan penyewa berkenaan.

Mereka berpendapat penyewa itu seharusnya memaklumkan kepada owner terlebih dahulu sebelum melakukan sesuatu terhadap barangan yang bukan milik mereka.

Tidak hanya itu, ada segelintir yang menasihatkan pengguna berkenaan agar membuat perjanjian dengan penyewa terbabit bagi mengelakkan perkara yang sama dari berulang.