Kongsi kejayaan anak dapat A dalam ujian Bahasa Melayu, rupanya ini yang dilakukan oleh anak Lee Chong Wei
Zaman teknologi kini, memang mudah untuk berkongsi cerita kepada netizen dengan adanya media sosial. Yang menariknya, ada antaranya yang kelakar dan menghiburkan pengguna socmed.
Baru-baru ni, warganet terhibur dengan caption Instagram jaguh badminton negara, Datuk Wira Lee Chong Wei mengenai kisah anak sulungnya, Kingston Lee yang berjaya dapat ‘A’ dalam ujian Bahasa Melayu.
Dalam posting itu, beliau menceritakan kisah anaknya yang mendapat keputusan memuaskan dalam Bahasa Melayu iaitu sebanyak 90 markah pada minggu lepas.
“Minggu lepas dia balik dari sekolah, Kingston menjerit, “Papa, aku broke rekod karangan 90 Markah, don’t play play.”
Walaupun begitu, dia turut mengaku yang anaknya itu masih ada lagi ruang untuk baiki bahasa Melayunya.
“Saya mengaku, standard BM Kingston masih ada ruang untuk diperbaiki malah, ruang tu besar. Karangan dia biasanya dapat B, kadang-kadang C dan sekali sekala ada A.”
Yang menghiburkan, jaguh badminton itu meminta kertas peperiksaan BM tersebut dengan menulis caption menggunakan ayat seakan-akan dalam novel yang kita selalu baca.
“Aku pun terpaku sekejap. Kebanggaan mengambil alih jiwa. “Tunjuk .. papa nk tengok,” minta aku dengan Kingston.”
Beliau pun baca karangan tu lalu menemui banyak kesalahan ejaan dan gaya bahasa yang lebih kurang je. Tapi, ada pula ‘plot twist‘ dekat akhir perenggan tentang kenapa Kingston boleh dapat ‘A’ dalam ujian tu.
“Cikgu, selamat hari jadi! Sebab cikgu, BM saya power. Saya berharap cikgu sihat hingga umur yang angka sama dengan markah karangan saya hari ini.”
Bila menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen terhibur dengan caption Lee Chong Wei itu.