Klip video didakwa berunsur lucah, polis Perak sahkan Apit Wan Lebo ditahan
Polis Perak mengesahkan seorang pengguna akaun Facebook ‘Apit Wan Lebo’ telah ditahan malam tadi bagi membantu siasatan susulan videonya yang mengkritik kerajaan berhubung perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara tular baru-baru ini.
Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata individu berkenaan telah ditahan pada jam 11 malam selepas dia menghadirkan diri ke Balai Polis Batu Gajah.
Katanya Polis mengambil masa lebih sejam merakam percakapannya selepas dia dibebaskan dengan jaminan polis.
“Dia telah pun dibebaskan dengan jaminan polis selepas kita merakamkan percakapan dia. (Hasil siasatan awal mendapati) dia ada keluarkan beberapa video klip dan antara video klip itu mengeluarkan unsur-unsur lucah dan sebagainya.
“Bab dia mengkritik kerajaan dan sebagainya itu satu isu, tapi dia menggunakan perkataan-perkataan yang berbaur lucah. Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 504 Kanun keseksaan, Seksyen 233 Akta komunikasi dan multimedia, dan seksyen 14 akta kesalahan kecil,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas meninjau perlaksanaan projek rintis penambahbaikan sekatan jalan raya (SJR) OP COVID-19 di Plaza Tol Ipoh Utara dekat sini pada Selasa.
Dalam pada itu Mior Faridalathrash berkata pihaknya akan merujuk kertas siasatan tersebut kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.
Terdahulu sebuah video berdurasi sekitar 4 minit yang dimuat naik di akaun Facebook Apit Wan Lebo telah tular sejak beberapa hari lalu yang mana kandungannya didakwa telah mengkritik perlaksanaan PKP serta golongan kenamaan di negara ini.
Dalam perkembangan berasingan, Mior Faridalathrash menafikan dakwaan penularan COVID-19 Kluster Jalan Canning Estate wujud berpunca daripada seorang pelayan pelanggan (GRO) yang bekerja di pusat hiburan Jalan Canning Estate di sini.
“Wanita itu sebenarnya bukan GRO. Dia adalah seorang warga negara China yang ada pasport, dan menjadikan Malaysia sebagai rumah kedua. Dia berkerjaya lain, dan pernah turun ke Ipoh.
“Walau bagaimanapun dia tidak ke pusat hiburan berkenaan. Dia hanya balik ke rumahnya di Ipoh. Saya tak tahu macam mana cerita timbul kata di ke pusat hiburan itu.
“Kita sudah jalankan siasatan dan mendapati memang wanita berkenaan tidak pernah mengunjungi pusat hiburan tersebut. Tetapi rumah dia memang berada di kawasan Canning,” katanya lagi. – SP