“Kisah berlaku 8 tahun lalu..” – Lelaki tak jadi nikah dituduh tak ‘move on’ & psiko, abang tampil bidas dakwaan

“Kisah berlaku 8 tahun lalu..” – Lelaki tak jadi nikah dituduh tak ‘move on’ & psiko, abang tampil bidas dakwaan

 

Kecoh di media sosial sejak Isnin malam mengenai hajat seorang lelaki untuk bergelar suami tidak kesampaian apabila bakal isteri tidak muncul pada hari pernikahan.

Timbul pelbagai spekulasi termasuk dakwaan yang mengatakan berlaku kisah di sebaliknya melibatkan bakal pengantin lelaki.

Terbaharu pada Selasa, tular hantaran seorang pengguna Facebook yang mendakwa ia merupakan kisah lama yang berlaku lapan tahun lalu.

Plot twist! Laki ya yang psiko. Berdasarkan sumber, kisah berlaku kira-kira lapan tahun lalu. Perempuan tak layan sebab perangainya ‘pemanas’ dan pelik.

“Kemudian tiba-tiba sekarang perempuan tu dah bahagia berkahwin ada dua anak, dia timbulkan cerita sebab mungkin masih belum move on dan cemburu.

“Kisah lama, jadi mungkin bila perempuan dah bahagia apa semua, dia trigger untuk reka cerita yang pelik-pelik,” katanya.

Susulan dakwaan itu, abang kepada pengantin lelaki tampil menafikan perkara tersebut kerana adiknya sendiri memaklumkan bahawa mereka berkenalan pada 2021, bukan lapan tahun sebagaimana yang didakwa.

Justeru dia yang enggan dikenali berkata, tidak timbul ‘kes lapan tahun lalu’ kerana adiknya baru dua tahun mengenali wanita berkenaan dan mereka baru bertunang pada Oktober tahun lalu.

“Kalau kes ni lapan tahun lepas, tak adalah sampai sejauh ni hubungan mereka sampai nak kahwin. Mereka bertunang di rumah bapa kepada kakak ipar saya di Kuching.

“Kalau adik saya psiko, buat apa kami bersusah payah nak menghalalkan pasangan. Buat apa susah-susah bawa rombongan keluarga dan saudara-mara ke rumah,” katanya ketika dihubungi mStar, Selasa.

Malah katanya, perjalanan rombongan keluarga ke rumah wanita berkenaan di Matu, Mukah, Sarawak dari Kuching pula jauh, sekurang-kurangnya mengambil masa enam jam.

“Perjalanan ke sana dari Kuching bukannya dekat, agak jauh,” katanya lagi.

Mengulas mengenai adiknya yang tidak mengetahui nama sebenar tunang, si abang menjelaskan bahawa tidak terlintas dalam fikiran mereka mengenai penipuan boleh berlaku.

“Dia beritahu nama dia lain, mana kami nak tahu ada tipu-menipu sebab kami percaya dia tidak menipu lebih-lebih lagi dia adalah penjawat awam,” katanya sambil menambah adik lelakinya kini sedang dalam tempoh ‘bertenang’.

Hantaran yang dibuat oleh seorang pengguna wanita yang mendakwa adik lelakinya itu seorang psiko bagaimanapun telah pun dipadamkan.

Sementara itu, satu lagi hantaran dipercayai daripada kakak ipar kepada bakal pengantin lelaki turut menafikan dakwaan yang dilemparkan.

“Ini bukti hantaran, saya yang gubah untuk majlis akad nikah dia. Tak kan benda ni lapan tahun lepas orang cakap. Senang je, lihat laporan polis tu tarikhnya bila.

“Tak perlu buang masa pergi jauh sekadar nak buang masa. Bayangkan Kuching ke Daro tu berapa jauh, orang Sarawak je tahu,” katanya lagi.

bakal pengantin 3

Terdahulu, tular mengenai seorang lelaki mendakwa dia sepatutnya melangsungkan majlis akad nikah bersama seorang wanita yang didakwa bertugas dalam pasukan badan beruniform, pada 10 November (Jumaat) dan majlis persandingan pada 11 November (Sabtu) di rumah pengantin perempuan di Matu, Mukah.

Malah, dia mendakwa telah menyerahkan wang hantaran berjumlah RM8,000 kepada pihak perempuan sebelum majlis berlangsung.

Pada hari yang sepatutnya berlangsung akad nikah, katanya, dia bersama rombongan seramai 22 orang yang membawa barang hantaran berkunjung ke rumah bakal pengantin perempuan tetapi hairan kerana tiada tanda-tanda ada majlis dibuat sebaik tiba di lokasi.

“Alamat betul, tapi rumah tak ada orang. Memang dah agak ada sesuatu yang tak kena. Kami putuskan untuk pergi ke rumah jiran sebelah dan rupanya tuan rumah sebelah tu adalah ibu saudara si pengantin perempuan.

“Kami beritahu tujuan datang dan tanya pasal pengantin perempuan. Kami bertambah geram dan terkejut apabila diberitahu nama sebenar dia lain. Lagi parah perempuan tu sudah berkahwin dan ada dua anak,” katanya.

Susulan itu, lelaki itu bersama keluarga membuat laporan polis berhubung penipuan tersebut yang mengakibat kerugian berjumlah kira-kira RM30,000.