Rugi jutaan ringgit, kilang padi bumiputera terbesar bakal gulung tikar selepas 57 tahun operasi
Rugi jutaan ringgit, kilang padi bumiputera terbesar bakal gulung tikar selepas 57 tahun operasi
Manipulasi beras tempatan menjadi beras import menyebabkan sebuah kilang padi Bumiputera terbesar di Perlis yang sudah beroperasi sejak 57 tahun lalu semakin ‘tenat’ untuk meneruskan operasi pemprosesan padi.
Malah, kilang Dibuk Sdn Bhd yang terletak di Jalan Kangar-Alor Setar di Simpang Empat, di sini, berkemungkinan ‘gulung tikar’ kerana terpaksa menanggung kerugian jutaan ringgit sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Pengarah Urusannya, Marzhuki Othman berkata, kilang berkenaan yang menjadi tumpuan dan kemudahan kepada lebih 10,000 petani di Perlis dilihat tidak lagi mampu bertahan.
Katanya, ia akibat tekanan lonjakan harga belian padi yang tinggi walaupun harga beras masih rendah.
“Dalam dua tahun kebelakangan ini sahaja, operasi kita, membabitkan tiga kilang kita, sudah mengalami kerugian lebih RM10 juta.
“Dua daripada tiga kilang itu sudah pun menutup operasi dengan kilang ketiga mungkin berdepan perkara sama.
“Kita sudah tidak mampu lagi bertahan dengan tekanan lonjakan harga belian padi daripada petani yang satu ketika pernah mencecah hampir RM2,000 satu tan metrik.
“Malah, tidak dinafikan, keadaan yang berlaku ini juga memungkinkan kilang kita terpaksa berdepan ancaman ‘bungkus’ sekiranya terus merekodkan kerugian,” katanya dihubungi.
Dia yang juga Pengerusi Gabungan Pengilang-Pengilang Beras Malaysia berkata, kilang berkenaan mampu memproses sehingga 30,000 tan metrik semusim dengan kekuatan 78 pekerja.
“Saya boleh katakan, daripada 127 kilang padi milik penuh Bumiputera yang aktif sejak 1998, kini hanya tinggal sembilan yang masih bertahan, namun dalam keadaan ‘sakit’.
“Kilang ini hanya menghitung waktu sahaja untuk menutup operasi seandainya tiada langkah efektif diambil dalam menangani dasar yang sudah tidak relevan seperti kawalan harga beras putih tempatan berbanding beras putih import yang tidak dikawal harga siling.
“Pada masa sama, pihak berkuasa dalam industri padi juga digesa untuk tidak lagi mengeluarkan dan membenarkan pusat belian padi berlesen berada di dalam lingkungan 20 kilometer dengan kilang,” katanya.
Dia berkata, ini disebabkan, ada dalam kalangan pemegang lesen ini dilihat menjadi ‘orang tengah’ dalam manipulasi pasaran beras ini.
“Mereka ditaja kilang besar dalam membolot padi walaupun berada di luar kawasan malah mereka juga menaikkan kos dalam pengeluaran beras.
“Lonjakan harga belian padi ini disebabkan berlakunya persaingan daripada pengilang besar bukan Bumiputera yang turut menguasai pasaran beras borong bagi mendapatkan bekalan padi.
“Dalam hal ini, pengilang ini sendiri mempunyai rangkaian pengedaran beras yang mana mereka mencampurkan beras tempatan yang dibeli pada harga kawalan bersama beras import sebelum ia kemudiannya dijual dengan label beras import pada harga yang tidak dikawal.
“Mereka ini akhirnya mengaut keuntungan berlipat ganda menerusi aktiviti manipulasi beras tempatan yang dijadikan beras import,” katanya.
Marzhuki berkata, kegiatan pengilang terbabit secara tidak langsung ‘membunuh’ pengilang sepertinya.
“Saya tidak mahu bersekongkol menipu pengguna dengan menjual beras tempatan sebagai beras import.
“Malah kenaikan kos seperti harga padi, elektrik, diesel, ‘rubber roller’, ‘jumbo beg’, gaji serta alat ganti juga secara perlahan-lahan menghancurkan operasi kami kerana kami tidak lagi mampu melunaskan hutang bank,” katanya.