Keupayaan unit bersenjata Udara Malaysia di tangga ke-60 dunia, ‘tewas’ dengan negara miskin

Keupayaan unit bersenjata Udara Malaysia di tangga ke-60 dunia, ‘tewas’ dengan negara miskin

Kejadian 16 pesawat penggempur China masuk ke ruang udara Malaysia pada 31 Mei yang lalu menggemparkan seluruh rakyat Malaysia. Kehadiran ‘musuh’ yang tidak diundang dan jejaknya yang tidak dapat dikesan awal oleh pihak Tentera Udara Malaysia (TUDM) pastinya merunsingkan banyak pihak.

Persoalan demi persoalan timbul. Bagaimana 16 pesawat China jenis Ilyushin Il-76 dan pesawat Xian Y-20 mampu masuk ke ruang udara kita? Adakah sistem pertahanan kita diperingkat yang membimbangkan? Atau adakah kita bersedia jika beberapa siri kejadian seperti ini terus berlangsung?

Dalam satu laporan yang dikeluarkan oleh Utusan Malaysia semalam. Difahamkan bahawa tahap kekuatan pasukan bersenjata udara Malaysia kini sudah ketinggalan jauh, malah ‘tewas’ dengan beberapa negara miskin di Asia. Utusan Malaysia yang memetik laporan portal Asian Community semalam menyenaraikan Malaysia di kedudukan ke-26 di benua Asia dan cuma berada di posisi ke-60 di peringkat antarabangsa.

Manakala di peringkat Asia Tenggara, negara kita berada di kedudukan keenam selepas Thailand, Indonesia, Myanmar, Vietnam, Singapura dan Filipina. Kita juga dipintas oleh beberapa negara miskin yang mempunyai kekuatan kelengkapan udara yang lebih baik. Antaranya Afghanistan yang berjaya menduduki tangga ke-16 di peringkat Asia dan ke-37 di peringkat dunia – walaupun sedang bergelut dengan isu Taliban. Tidak ketinggalan pula Bangladesh yang berada di posisi ke-23 di benua Asia dan ke-53 di dunia.

Data yang dikeluarkan ini merujuk kepada laporan Global Firepower yang bertanggungjawab menyenaraikan perbandingan kekuatan ketenteraan di beberapa negara di dunia. Dengan China berada di kedudukan pertama di peringkat Asia dan antarabangsa, diikuti dengan India, Korea Selatan, Jepun, Pakistan, Korea Utara, Arab Saudi, Taiwan dan Thailand. Manakala sepuluh negara lemah lain yang ketinggalan jauh di Asia pula adalah Bhutan, Kyrgizstan, Mongolia, Nepal, Kemboja, Tajikistan, Laos, Lubnan, Turkmenistan dan Sri Lanka.

Terdahulu, The Vocket melaporkan pesawat jenis Ilyushin Il-76 dan Xian Y-20 milik Tentera Udara Republik Rakyat China memasuki ruang udara Kota Kinabalu dan menghampiri ruang udara nasional pada 31 Mei 2021 telah dikesan melalui Radar Pertahanan Udara TUDM daripada Pusat Pertahanan Udara (CRC 2) di Sarawak pada jam 11.53 tengahari. TUDM menambah bahawa pesawat terbabit telah dikesan terbang pada ketinggian di antara 23,000 kaki sehingga 27,000 kaki dengan kelajuan 290 knots melalui ruang udara Singapura sebelum memasuki ruang udara Malaysia.

Situasi ini bukan sahaja mendapat perhatian kerajaan Malaysia, malah mendapat perhatian Amerika Syarikat (AS) apabila mereka mengutuk tindakan pesawat-pesawat tentera China terbang di luar perairan pantai Malaysia dan Taiwan dan menganggapnya sebagai satu tindakan yang akan meningkatkan ketegangan di Laut China Selatan. Dalam kenyataan media, Komander tentera AS, Jeneral Kenneth Wilsbach berkata, kejadian pencerobohan zon pertahanan udara akan menjadikan rantau tersebut sebagai tidak stabil.

Keupayaan tentera laut, udara dan darat negara China memang menakutkan beberapa negara kuasa besar yang lain, termasuk AS. Difahamkan bahawa China mempunyai 1,232 pesawat pejuang, 371 pesawat penyerang, 224 untuk pengangkutan, 314 pesawat pelatih, 111 untuk misi khas, 911 helikopter, dan 281 helikopter penyerang. Mereka juga mempunyai hampir 400,000 anggota tentera udara yang bersedia untuk berjuang.

Manakala kedudukan Malaysia yang agak sederhana ini membuatkan negara terdedah kepada beberapa konflik seperti pencerobohan ruang udara yang dianggap rapuh. Untuk rekod, Malaysia hanya mempunyai 147 pesawat termasuk 26 jet gempur, 42 helikopter, 40 kapal terbang latihan, 18 pesawat pengangkut dan 13 jet penyerang.

Sumber: TV