Ketua Polis Negeri perlu ikut garis panduan baru kompaun SOP

Ketua Polis Negeri perlu ikut garis panduan baru kompaun SOP

Ketua Polis Negeri perlu mengikuti garis panduan baru sebelum mengeluarkan kompaun maksimum terhadap mana-mana pihak yang melanggar prosedur operasi standard (SOP).

Garis panduan baru yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan KKM) pada 27 April lalu, bagi menjelaskan kompaun yang wajar dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap aktiviti perniagaan kecil.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, yang menerima watikah pelantikan sebagai Ketua Polis Negara, hari ini, berkata antara aktiviti perniagaan kecil adalah peniaga dan penjaja di tepi jalan, berniaga di depan rumah dan peniaga kedai makanan.

“Bagi mana-mana kesalahan perniagaan kecil yang beroperasi lebih masa, pihaknya boleh menawarkan kompaun RM2,000 dan saya akan mengarahkan semua Ketua Polis Negeri, untuk mengikuti garis panduan baru ini.

“Sebelum ini, anggota polis yang mengeluarkan kompaun hanya menjalankan tugasnya berdasarkan undang-undang dan garis panduan yang ada. Namun, kami tidak menolak kemungkinan beberapa anggota terkhilaf mentafsirkan garis panduan tersebut. Oleh itu, arahan baru ini harus membuatkan semuanya lebih jelas,” katanya kepada BH di Bukit Aman, hari ini.

Acryl Sani mengulas isu peniaga kecil di Kelantan ditawarkan kompaun RM50,000 kerana melanggar SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dalam perkembangan berkaitan, beliau menafikan polis mengambil pendekatan berat sebelah dalam mengeluarkan kompuan sama ada terhadap orang kenamaan, golongan artis dan ahli politik.

“Saya menafikan sebarang tanggapan kononnya pihak polis mengambil langkah berbeza di antara orang awam dan golongan artis, ahli politik atau orang kenamaan dalam tindakan mengeluarkan kompauan, atas kesalahan melanggar SOP ditetapkan.

“Sebagai contoh, pihak polis akan mengeluarkan kompaun di lapangan semasa melakukan pemeriksaan pematuhan, selepas kesalahan pelanggaran SOP yang dikesan berlaku di hadapan mata. Namun, untuk kes-kes yang menjadi tular dalam laman media sosial, pihak polis harus memeriksa kesahihan sesuatu video atau foto yang ditularkan.

“Ini kerana kejadian yang tular itu sudah berlaku sebelum video atau foto mula tersebar dan bukan berlaku semasa Pasukan Pematuhan PDRM melakukan pemantauan di lapangan,” katanya.

Beliau memberi jaminan bahawa PDRM akan bertindak mengikut peruntukan undang-undang sedia ada, selepas kesalahan itu dibuktikan, selain menerima maklumat dari orang awam.

Katanya, langkah susulan pihak polis ialah membuka kertas siasatan sebelum merujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk tindakan susulan.

Acryl Sani berkata, kuasa untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana individu terbabit bergantung kepada AGC. – BH