Ketua Hakim Negara keluar ‘arahan amalan’ baharu berkait permohonan reman

Ketua Hakim Negara keluar ‘arahan amalan’ baharu berkait permohonan reman

 

Pemeriksaan lebih ketat akan dilakukan untuk proses permohonan reman, termasuk majistret perlu memastikan kehadiran peguam yang mewakili suspek yang disiasat, kata Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat.

Beliau juga berkata, majistret harus memastikan suspek berada dalam keadaan sihat ketika mereka dibawa ke mahkamah bagi permohonan reman.

Arahan amalan baharu ini akan berkuat kuasa pada Rabu dan dua arahan sebelumnya yang dikeluarkan pada 2003 dan 2011 kini dibatalkan.

Tengku Maimun berkata, seseorang peguam juga mesti menunjukkan bukti bahawa suspek telah melantiknya.

Beliau berkata, majistret harus memastikan suspek hadir dan permohonan reman, salinan diari siasatan yang lengkap serta dokumen lain sudah siap disediakan sebelum memulakan perbicaraan.

Suspek juga mesti mengesahkan kepada majistret bahawa mereka telah diberi peluang untuk mendapatkan peguam pilihannya.

“Bagi OYDS (orang yang disyaki) yang tidak diwakili peguam atau tidak berkeupayaan melantik peguam, OYDS tersebut akan dimaklumkan oleh majistret akan hak OYDS untuk mendapatkan khidmat bantuan guaman daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK),” katanya dalam arahan amalan bertarikh 10 Sept yang dilihat oleh FMT.

Tengku Maimun berkata, pegawai penyiasat juga perlu memastikan peguam yang dilantik suspek sudah dihubungi atau suspek bercadang untuk mendapatkan khidmat guaman daripada yayasan.

“Pengendalian prosiding permohonan reman hendaklah ditangguhkan ke suatu tempoh masa yang munasabah pada hari yang sama bagi membolehkan peguam hadir untuk mewakili OYDS,” kata beliau.

Bagaimanapun pengendalian prosiding permohonan reman akan diteruskan sekiranya suspek tidak mahu diwakili peguam atau tiada peguam yang hadir setelah tempoh masa munasabah diberikan.

Ketika prosiding, beliau berkata, polis perlu memaklumkan kepada majistret mengenai status permohonan reman sama ada ia permohonan baharu atau lanjutan.

Suspek juga perlu memaklumkan majistret bagaimana dia dilayan ketika dalam tahanan dan status kesihatan dirinya. Polis mesti menghantar suspek ke hospital sekiranya majistret mendapati suspek memerlukan rawatan perubatan.

Arahan amalan itu turut menggariskan pihak yang boleh mendengar permohonan reman ketika ketiadaan majistret.

Arahan baharu yang dikeluarkan ini dipercayai susulan beberapa laporan kematian dan majistret gagal mengikuti prosedur yang ditetapkan dalam Kanun Tatacara Jenayah.

Pada April, hakim Mahkamah Persekutuan Vernon Ong Lam Kiat berkata dalam penghakiman bahawa hakim mesti mematuhi undang-undang, termasuk Perlembagaan Persekutuan, ketika memutuskan untuk memberikan atau menolak permohonan reman yang diminta oleh polis untuk menahan suspek untuk disiasat di bawah undang-undang pencegahan.

Dalam kes itu, pengadilan telah mengizinkan rayuan habeas corpus untuk membebaskan seorang peniaga bergelar “Datuk” dan dua anggota polis atas tuduhan terlibat dalam aktiviti perjudian dalam talian dan penipuan Macau.

Sumber: FMT