Ketua balai polis, dua anggota positif dadah ditahan ketika berhibur di pusat hiburan

Ketua balai polis, dua anggota positif dadah ditahan ketika berhibur di pusat hiburan

 

Seorang ketua balai polis dan dua anggotanya antara 14 yang ditahan berhibur di sebuah pusat hiburan sekitar Taman Dutamas, Cheras, Selangor.

Kesemua anggota polis itu berumur antara 37 hingga 57 tahun dan bertugas dalam kawasan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata serbuan itu dijalankan pada awal pagi Sabtu.

“Hasil pemeriksaan mendapati 14 orang yang ditahan itu positif dadah termasuk tiga anggota polis,” katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Tiga anggota polis termasuk 11 lagi individu direman untuk membantu siasatan.

“Anggota polis terbabit ditukarkan ke Jabatan Pengurusan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor sementara menunggu hasil siasatan.

“Kami juga akan menjalankan siasatan tatatertib,” katanya.

Hussein menekankan bahawa pegawai dan anggota polis dilarang berada di pusat hiburan kecuali atas urusan tugas yang diarahkan.

“Tindakan tegas termasuk pertuduhan jenayah akan diambil ke atas mana-mana pegawai dan anggota yang melanggar arahan termasuk terbabit penyalahgunaan dadah,” katanya.