Ketua AWAN Perak diherdik “pergi mampos” dalam kumpulan Whatsapp
Meskipun cuba untuk memberi nasihat agar menjaga nama baik parti, namun Ketua Angkatan Wanita (AWAN) Perak, Zuhairah Ghazali menerima herdikan kasar dari individu bernama Rizal dalam satu kumpulan Whatsapp.
Zuhairah atau lebih dikenali dengan panggilan Kak Ju melalui satu pesanan yang dipanjangkan ke kumpulan Whatsapp berkenaan meminta agar mereka yang mengendalikan halaman facebook sayap parti bagi kawasan Teluk Intan itu tidak memperbesar-besarkan cerita yang menjadi isu dalaman parti.
“Kju minta tidak diviralkan tlg delete. Ini menjejaskan nama Awan Perak. Kome nak report ke nak bawa mahkamah ke terpulang. Tapi nama baik Awan dan masalah dalam tlg jgn di viralkan”, tulisnya.
Respon yang diberikan oleh nama yang tertera sebagai Rizal menjawab “ dia sapa pergi mampos la. Ckp dgn dia rezal ckp PERGI MAMPOS YE atau MAMPOS LG BAIK. Milah atau erin tlg bgtau dia ye”.
Perbualan itu ditangkap layar dan diberikan sumber selepas isu kekecohan melibatkan Zulaiha Mohd Azam, Naib Ketua AWAN Teluk Intan.
Sumber turut memaklumkan individu bernama Rizal adalah dalang dalam merencana dan mencetuskan kekecohan ini.
“Rizal Ayob inilah orang yang membuat segala perancangan meskipun dengan cara menipu maklumat untuk mencapai impiannya menguasai Amanah Teluk Intan melalui proksi-proksi yang dia letak” kata sumber.
“Rizal ini jugalah individu yang telah ditangkap dalam kes penipuan projek perumahan pada 2017 dan dia jaja dia rapat dengan Presiden Amanah kepada pengikut-pengikutnya.
“Sebab itu dia yakin untuk dapat kelulusan cawangan-cawangan dengan maklumat palsu meskipun tidak melalui proses yang betul tetapi dia tidak sedar bahawa tindakannya boleh menimbulkan masalah kepada parti”, tambahnya lagi.
Kes kekecohan yang berlaku turut melibatkan beberapa Ahli Jawatankuasa Nasional Amanah yang ditugaskan untuk menjalankan siasatan lanjut berkait pemalsuan dan salah guna maklumat dalam membuat penubuhan cawangan di sini.