Cari pekerjaan lebih sukar berbanding cari pasangan hidup
Cari pekerjaan lebih sukar berbanding cari pasangan hidup
Satu daripada tiga rakyat Malaysia berpendapat mencari pekerjaan yang tepat adalah lebih sukar daripada mencari cinta.
Kaji selidik yang dijalankan Jobstreet by Seek mendapati, cabaran dalam pencarian kerjaya lebih dirasai golongan muda, di mana 55 peratus pekerja bawah 24 tahun bersedia menukar pekerjaan dalam tempoh setahun jika ia tidak memenuhi matlamat kerjaya.
Peratusan ini menurun kepada 35 peratus bagi mereka yang berumur 25 hingga 34 tahun, dan hanya 26 peratus untuk kumpulan umur 45 hingga 54 tahun.
“Hal ini mencerminkan keutamaan generasi yang berbeza dalam memilih kerjaya,” kata laporan tersebut.
Generasi muda terutamanya para graduan, kebanyakkannya lebih mementingkan pertumbuhan kerjaya berbanding kestabilan pekerjaan dalam tempoh jangka masa panjang.
Kesukaran dalam mendapat peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dan pekerjaan sementara terus menjadi isu utama yang kini mengakibatkan sebanyak 37.4 peratus graduan universiti bekerja dalam sektor separa mahir.
Namun, kaji selidik tersebut mendapati, gaji adalah faktor utama yang menjadi penentu seseorang itu menerima sesuatu pekerjaan.
Sebahagian besar, iaitu sebanyak 55 peratus responden juga mengakui tidak berpuas hati dengan penawaran gaji yang rendah. Ini merupakan faktor utama selain kekurangan peluang kerjaya (31 peratus) dan ketidakseimbangan kehidupan-kerja (work-life balance).
Kajian turut mendapati, sebanyak 80 peratus pekerja sanggup melakukan kerja yang tidak selaras dengan matlamat jangka panjang mereka kerana tawaran gaji lebih tinggi.
Ketua Pemasaran Jobstreet by SEEK Malaysia, Sammy Chan menekankan kepentingan majikan menawarkan gaji dan faedah kompetitif selain memastikan skop kerja memenuhi ekspektasi pekerja.
“Hal ini bersamaan dengan mencari pasangan, di mana persefahaman di antara pekerja dan majikan perlu kukuh untuk mencari padanan kerja yang tepat.
“Jika tiada keserasian, kedua-dua pihak tidak akan mendapat sebarang manfaat jangka panjang,” katanya.