Kerja membancuh kopi didakwa boleh hilangkan stress

Kerja membancuh kopi didakwa boleh hilangkan stress

 

Satu kajian mendedahkan melakukan kerja-kerja rumah seharian boleh menjadi kaedah terbaik untuk merehatkan diri.

Lapor Daily Mail, tugasan harian seperti menyiram pokok dan menyidai pakaian dibasuh dikatakan merupakan antara aktiviti yang mampu menghilangkan tekanan.

Hampir satu perempat daripada 2,000 orang dikaji dalam tinjauan pendapat dijalankan eBay mendapati kerja memvakum paling menyenangkan.

“Kira-kira 18 peratus responden memaklumkan kerja membaiki kenderaan adalah amat memanfaatkan.

“Sebanyak 31 peratus orang pula berpandangan memetik daun herba yang ditanam dan menyiram pokok sebagai aktiviti melegakan.

“Manakala, 28 peratus yang lain mengakui gemar menyidai pakaian yang dibasuh,” jelas laporan itu.

Berdasarkan kajian itu, hampir 49 peratus responden memilih kerja membancuh teh atau kopi sebagai aktiviti paling popular untuk meredakan tekanan.

Menurut kajian, kira-kira 91 peratus orang bersetuju dengan pandangan bahawa tugasan harian mampu memberikan ketenangan.

Malah, 56 peratus responden percaya melakukan kerja rumah biasa boleh menjadi lebih menyenangkan berbanding kaedah tradisional seperti meditasi.