Pemuda kerja di ladang sawit raih pendapatan RM7k sebulan

Pemuda kerja di ladang sawit raih pendapatan RM7k sebulan

 

Pemuda kerja di ladang sawit raih pendapatan RM7k sebulan

Ketika rakan sebaya melanjutkan pengajian atau be­kerja makan gaji, seorang pemuda di daerah ini gigih mencari rezeki sebagai pekebun sawit.

Muhammad Hazim Mohd. Akhir, 20, yang merupakan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia kini tersenyum lebar apabila berjaya meraih pendapatan sehingga RM7,000 sebulan dengan mengusahakan ladang sawit seluas 16 hektar milik keluarganya selain pajakan.

“Saya mula membantu ayah sejak usia 12 tahun kerana minat selain melihat kesusahannya bekerja setiap hari dari subuh sampai ke petang.

“Ada yang kata sektor pertanian ini kotor, bahaya dan sukar, namun sekiranya kita membuat perancangan teliti ia tidak se­perti yang digambarkan,” kata­nya ketika ditemui Kosmo di Kampung Haji Dahalan.

Menurut Muhammad Hazim, bapanya sentiasa memantau aspek pengurusan ladang bermula daripada meracun, membaja, mengait buah sehingga ke kilang memproses buah dengan dibantu dua pekerja.

Pemuda itu turut mengusahakan tanaman anak pokok kelapa sawit sebagai persediaan penanaman semula komoditi itu yang tidak lagi bersifat ekonomi.
Katanya, harga sawit RM890 hingga RM950 satu tan selain pengurusan kawalan perosak yang baik memberi prospek pendapatan stabil sepanjang tahun.

“Sebahagian besar gaji disimpan untuk membeli tanah bagi menambah tanaman sawit. Setakat ini, saya pendam dulu keinginan untuk membeli kereta mewah dan gajet canggih.

“Biarlah wang itu digunakan untuk menambah aset. Saya berazam untuk memiliki kediaman dan tanah sendiri sebelum mendirikan rumah tangga,” katanya yang turut mengusahakan tanaman buluh, nanas, pisang dan ternakan ruminan.