“Kenapa mahal, check saja pun..” – Minta upah RM150 baiki chiller, ‘technician’ terkedu pelanggan cuma bayar RM20

“Kenapa mahal, check saja pun..” – Minta upah RM150 baiki chiller, ‘technician’ terkedu pelanggan cuma bayar RM20

 

Upah atau gaji yang setimpal dengan hasil kerja merupakan pendorong untuk kita terus berusaha melakukan yang terbaik.

Bagaimanapun seorang mekanik perkakasan elektrik meluahkan rasa kecewa apabila mendakwa dia dianiaya seorang pelanggan yang pada mulanya berada dalam kesempitan.

Menerusi luahan di Facebook, lelaki itu berkata dia diberi upah pada kadar yang amat tidak munasabah dengan kos yang perlu ditanggungnya.

“Pelanggan hubungi saya, merayu minta datang segera tengokkan chiller (peti penyejuk) on trip (elektrik terputus) satu rumah. Ada banyak kek dalam chiller. Minta datang segera nanti kek rosak katanya.

“Saya pun dengan rasa simpati pusing jadual kerja untuk bantu pelanggan yang kalut supaya kek tak rosak. Perjalanan pergi dalam 34 kilometer (km) juga jarak saya dengan rumah pelanggan tu.

“Dua kali pergi balik sudah 68km. Sampai je (destinasi), kita semak satu persatu pendawaian kabel chiller tu menggunakan Multimeter (alat ukur elektrik pelbagai fungsi) jenama Sanwa tak mahal pun RM100 lebih saja,” ujarnya.

Bagaimanapun kata lelaki itu, cubaan untuk mencari punca penyebab litar pintas itu tidak berhasil.

Hal ini menyebabkan dia terpaksa menggunakan pula alat penguji kesinambungan arus elektrik (Continuity Tester) yang berharga lebih mahal.

Akhirnya usaha untuk menyelamatkan kek peniaga itu berjaya apabila masalah dapat diselesaikan.

“Jadi saya pakai Continuity Tester meter harga dalam RM1,000 lebih sikit saja. Guna alat tu untuk cari short baru la jumpa punca masalah dekat mana.

“Jadi untuk selamatkan kek pelanggan tu, saya baiki dan buang bahagian yang short tu. Chiller pun boleh beroperasi semula.

“Lepas tu saya minta la upah untuk kos datang selesaikan troubleshooting dan harga baiki kerosakan iaitu RM150 saja,” ujarnya.

Namun pelanggan itu mempertikaikan caj yang dikenakan kononnya tidak masuk akal.

“Pelanggan tanya kenapa mahal sangat. Katanya saya datang periksa saja pun, bukan tukar barang harga mahal. Saya terus terkedu dengan perangai pelanggan macam ni.

“Saya suruh pelanggan tu nilai sendiri kerja-kerja saya yang panas bawah bumbung sampai seluar dalam pun basah. Kemudian pelanggan masuk dalam bilik, apabila keluar dia hulur sebanyak RM20 saja.

“Maka saya ambil dengan senyuman kurang ikhlas. Balik rumah sambil memandu terfikir. Kepakaran bermain dengan litar pintas elektrik, silap langkah hilang nyawa.

“Hanya dibayar sebanyak RM20 saja… zaman tahun 2024 kut. Saya pun bersangka baik la.

“Mungkin ujian daripada Allah nak bagi rezeki yang lebih baik dan terbaik di masa akan datang. Insya-Allah,” katanya.

Hantaran tersebut meraih pelbagai reaksi netizen yang bersimpati dengan nasib mekanik ini.

“Sakit hati… pernah kena dulu salam sauk RM20 je. Tu pun cakap untuk anak. Sejak daripada tu nak datang je bagitahu siap-siap segala kos bagai. Setuju, baru datang.

“Pertama dan terakhir la datang kalau dapat pelanggan macam ni. Kalau dia panggil lagi jangan layan. Semoga dipermudahkan urusan awak,” komen netizen.