Kementerian Kewangan dedah tiga faktor kegagalan FashionValet
Kementerian Kewangan dedah tiga faktor kegagalan FashionValet.
Kementerian Kewangan mendedahkan tiga faktor luar jangka menyebabkan kegagalan syarikat perniagaan fesyen dalam talian, FashionValet (FV) sehingga pelaburan disuntik Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) mengalami kerugian.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata satu daripadanya disebabkan implikasi COVID-19 yang menghalang perniagaan fizikal FashionValet dan mengakibatkan pasaran untuk pakaian premium, termasuk tudung, merosot dengan ketara.
“Ketika FashionValet ingin mencapai aspirasi untuk menjadi platform membeli-belah pelbagai saluran, ia telah menambah bilangan kedai fizikal secara pesat.
“Namun, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan semasa COVID19 menghalang perniagaan fizikal dan mengakibatkan pasaran untuk pakaian premium, termasuk tudung, merosot dengan ketara.
“Malahan, kedai fizikal yang kurang mendapat sambutan juga terpaksa ditutup,” katanya ketika menjawab soalan asal Syerleena Abdul Rashid (PH-Bukit Bendera) pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Faktor kedua pula, katanya perubahan trend platform fesyen e-dagang, yang mana perkembangan pesat jenama fesyen tempatan terutamanya fesyen sopan, yang menggunakan saluran jualan e-platform tersendiri berserta saluran alternatif mudah akses seperti Facebook, telah menyebabkan FashionValet mengalami saingan hebat.
“Oleh itu, platform FashionValet terpaksa ditutup dan seterusnya beralih fokus kepada jenama sendiri iaitu dUCk dan LILIT.
“Faktor terakhir dari segi cabaran pengumpulan dana di mana semua cabaran ini telah menyebabkan kekangan aliran tunai kepada FashionValet. Ia
berusaha mengumpulkan dana baharu untuk menangani masalah ini, tetapi pemegang saham sedia ada termasuk Khazanah dan PNB tidak bersetuju untuk mengambil risiko tambahan dengan menambah pelaburan dalam Fashion Valet.
“Malah, pasaran pengumpulan dana yang mencabar ketika itu menyebabkan proses pengumpulan dana dijalankan FashionValet tidak berjaya,” katanya.
Amir Hamzah berkata, walaupun Khazanah dan PNB adalah pelabur minoriti, kedua-dua pihak memainkan peranan proaktif untuk membantu FashionValet, termasuk memberikan bimbingan strategi dan nasihat kewangan kepada ahli pengurusan tertinggi syarikat.
“Bagaimanapun, impak daripada cabaran-cabaran dihadapi terlalu besar, menyebabkan situasi kewangan syarikat semakin parah.
“Untuk terus beroperasi dan menangani masalah aliran tunai, FashionValet pada waktu itu memerlukan suntikan modal daripada pelabur baharu dengan segera. Namun, mereka tidak menerima banyak tawaran daripada pelabur baharu,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan Khazanah dan PNB mengakui hasil pelaburannya dalam FashionValet tidak selari unjuran pulangan pelaburan, bagaimanapun kerajaan akan meneliti dan akan terus memberi perhatian bagi memastikan tadbir urus GLC terus kukuh.
“Memandangkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menyiasat kes ini dan audit dalaman juga masih berjalan, Khazanah dan PNB perlu diberi ruang untuk proses siasatan diselesaikan.
“Segala dapatan yang dimuktamadkan nanti akan digunakan untuk menambah baik tatakelola dan tadbir urus (kedua-dua GLIC) terbabit,” katanya.
Mengulas pertimbangan pelaburan dalam FashionValet, beliau berkata ketika Khazanah dan PNB menilai FashionValet untuk potensi pelaburan pada 2017, syarikat itu menjadi sebuah platform fesyen e-dagang yang mempunyai lebih 400 jenama dan 15,000 produk, dengan hasil perniagaan hampir RM60 juta dan merekodkan kadar pertumbuhan tahunan dari tahun 2013 sebanyak lebih 100 peratus.
“Pelaburan oleh Khazanah dan PNB dalam Fashion Valet dibuat setelah melalui proses penilaian terperinci dan ketekunan wajar oleh pihak masing-masing dan dilaksanakan pada nilai pasaran yang mencerminkan trajektori pertumbuhan FashionValet yang kukuh pada masa itu.
“Suntikan pelaburan oleh Khazanah dan PNB ke dalam FashionValet digunakan untuk mengembangkan platform FashionValet supaya menjadi platform e-dagang serantau bagi jenama tempatan. Ini termasuk menambah bilangan kedai fizikal selaras aspirasi FashionValet untuk menjadi platform membeli-belah pelbagai saluran dan membangunkan jenama dimiliki sepenuhnya oleh mereka.
“Fashion Valet telah mencatatkan pulangan tunai positif untuk beberapa tahun selepas menerima pelaburan daripada Khazanah dan PNB. Namun, pihak Khazanah dan PNB sedia maklum cabaran-cabaran dihadapi FashionValet untuk mengembangkan perniagaan,” katanya.