“Kisah saya sama seperti watak Puteri Balqis dalam drama Keluarga Itu” – Gadis dakwa jadi mangsa haruan makan anak

“Kisah saya sama seperti watak Puteri Balqis dalam drama Keluarga Itu” – Gadis dakwa jadi mangsa haruan makan anak
Seorang remaja perempuan dikenali sebagai Lin tampil di media sosial membuat pengakuan berani bahawa pernah menjadi mangsa seksual oleh bapanya sendiri.
Lin, 18, yang berasal dari Kelantan mendakwa, pengalaman pahit dilaluinya sama seperti watak Dhamiah dilakonkan pelakon, Puteri Balqis dalam drama Keluarga Itu yang disiarkan sebuah stesen televisyen mengisahkan penderitaan seorang anak dirogol oleh bapanya sendiri.
“Saya amat tertarik dengan drama ini kerana ia menggambarkan realiti hidup saya.
“Watak yang dimainkan oleh Rosyam Nor sebagai ‘bapa haruan’ sangat dekat dengan kisah yang saya lalui,” katanya.
Dakwa Lin, dia pernah menjadi mangsa penderaan fizikal dan emosi namun lebih menyedihkan apabila ibunya sendiri tidak mempercayainya.
“Orang luar senang berkata bahawa sejahat mana pun seorang ayah, anak tetap perlu menghormatinya.
“Tapi mereka tidak berada di tempat saya, mereka tidak tahu kesakitan yang saya tanggung,” luahnya.
Lin mendakwa, sering dipukul sehingga meninggalkan kesan parut di tubuhnya, malah, dia pernah melarikan diri pada waktu malam akibat tidak tahan dengan penderitaan yang dialaminya.
“Saya pernah hilang beberapa kali, berjalan kaki sendirian pada waktu malam kerana tidak tahan dengan penderitaan.
“Saya juga mengalami penderaan fizikal yang teruk pernah dipukul dengan kayu sehingga pintu kedai runcit pecah,” katanya.
Lebih memilukan, Lin berkata, selepas ibu bapanya berpisah, dia terpaksa tinggal bersama bapanya yang didakwa seorang bersikap narsistik.
“Saya dipaksa membenci ibu sendiri dan apabila saya cuba bersuara, tiada siapa yang percaya.
“Saya juga sudah tidak kisah lagi dibenci keluarga kerana mereka anggap saya penyebab bapa saya dimasukkan ke penjara,” ujarnya lagi.
Menurutnya, sikap ibu yang tidak mempercayai kata-katanya menambahkan lagi luka di hati.
“Saya bukan sengaja mahu memburukkan keluarga sendiri, tapi orang kena faham, tiada anak akan benci bapa sendiri kecuali pasti ada sebab yang besar.
“Saya melalui semuanya sendirian tanpa pembelaan sesiapa pun,” katanya.
Lin berharap, kisah hidupnya dapat menjadi pengajaran kepada masyarakat agar lebih peka terhadap penderitaan mangsa penderaan.
Dia juga mengajak mangsa lain untuk bangkit dan bersuara agar lebih ramai sedar mengenai realiti penderitaan mereka.
“Saya tahu ramai yang takut untuk bersuara.
“Tetapi kebenaran tetap akan terbukti, jika tidak di dunia, di akhirat nanti pasti ada pembalasan,” katanya tegas.
Perkongsian Lin sejak Isnin lalu itu turut mencetuskan pelbagai reaksi netizen malah ada mendakwa Lin mendedahkan aib keluarganya namun kumpulan netizen lain pula menyangah anggapan itu dan menegaskan perkara terbabit bukanlah satu aib tetapi jenayah yang perlu diambil tindakan tegas melalui undang-undang.