Keluarga dari Malaysia ini rupanya pemilik tanah ke-2 terbesar di New Zealand

Keluarga dari Malaysia ini rupanya pemilik tanah ke-2 terbesar di New Zealand

 

Syarikat pembalakan dimiliki oleh sebuah keluarga dari Sarawak, Malaysia telah lama aktif dalam aktiviti pembangunan hutan.

Ini melibatkan penebangan kayu yang bernilai berbilion dolar di kawasan Sarawak, Papua dan wilayah warisan alam semula jadi di Asia Tenggara.

Menariknya, mereka bukan sahaja aktif sebagai syarikat pembalakan. Mereka juga mampu membuat pelaburan besar dalam hartanah dan perniagaan di seluruh rantau ini.

Terdahulu, pemerhati di New Zealand terkejut apabila satu laporan mendedahkan bahawa syarikat Rimbunan Hijau dari Malaysia, yang dimiliki oleh “keluarga Tiong”, telah menjadi pemilik tanah persendirian kedua terbesar di New Zealand.

Keluarga Tiong dipercayai memiliki tanah seluas 77,686 hektar di negara tersebut.

Keluarga ini yang berpangkalan di Malaysia, bukan sahaja berjaya dalam industri pembalakan, tetapi juga memiliki pelbagai perniagaan dan aset di seluruh dunia.

Di New Zealand, mereka menguruskan hutan Ernslaw One dan juga memiliki syarikat New Zealand King Salmon.

Selain itu, mereka turut menguruskan tanah melalui syarikat pembangunan hartanah milik mereka, The Neil Group.

Bukan itu sahaja, keluarga Tiong turut menguasai Media Chinese International Limited (MCIL), iaitu kumpulan surat khabar berbahasa Cina terbesar di dunia.

Mereka juga terlibat dalam beberapa perniagaan lain seperti perladangan serta industri minyak dan gas.

Untuk info, perniagaan keluarga Tiong ini bermula dalam industri pembalakan di Sibu, Sarawak.

Perniagaan ini diasaskan oleh Tiong Hiew King selepas beliau bekerja dengan bapa saudaranya, pemilik syarikat pembalakan pertama di Sarawak, iaitu WTK.

Kedua-dua syarikat keluarga ini memainkan peranan penting dalam aktiviti penebangan hutan, yang kemudian ditukarkan kepada ladang kelapa sawit di Sarawak.