Kelantan diiktiraf negeri kedua paling selamat di Malaysia

Kelantan diiktiraf negeri kedua paling selamat di Malaysia
Kelantan diiktiraf negeri kedua paling selamat di Malaysia selepas Sabah, dengan nisbah hanya 96 kes jenayah indeks bagi setiap 100,000 penduduk.
Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan, berkata rekod ini membuktikan keberkesanan pentadbiran negeri dalam mendepani cabaran sosial dan jenayah.
Katanya, ia sekali gus menegaskan kedudukan Kelantan sebagai contoh unggul negeri yang mengutamakan keselamatan, ketenteraman serta kesejahteraan rakyat secara menyeluruh.
“Statistik terkini bagi tempoh Januari hingga Jun 2025 mencatatkan penurunan ketara 14.3 peratus dalam kadar jenayah indeks di Kelantan, berkurangan daripada 1,129 kes kepada 967 kes.
“Penurunan signifikan sebanyak 162 kes ini mencerminkan keberkesanan dasar dan pendekatan bersepadu yang digerakkan oleh pentadbiran negeri serta komitmen tinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam memelihara keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.
Mengulas status negeri yang dihimpit arus persepsi negatif yang berulang kali dilempar ke atas negeri ini, beliau menegaskan ia dilakukan tanpa pertimbangan yang adil.
“Perkembangan positif seperti ini wajar lebih diketengahkan untuk memberikan gambaran sebenar tentang kemajuan dan usaha berterusan di Kelantan.
“Pencapaian ini bukti kukuh bahawa dasar pentadbiran berteraskan Penghayatan Membangun Bersama Islam serta sinergi erat antara kerajaan negeri, agensi penguat kuasa dan masyarakat telah membuahkan hasil yang signifikan,” katanya.
Tambah beliau, dalam usaha memperkukuh kawalan sempadan, kerajaan negeri menggesa Kerajaan Persekutuan mengkaji pembinaan tembok keselamatan di beberapa laluan yang dikenal pasti di sempadan Malaysia-Thailand.
“Usaha ini amat penting sebagai langkah strategik meningkatkan kawalan keselamatan serta membendung aktiviti jenayah rentas sempadan yang berpotensi menjejaskan kedaulatan dan kesejahteraan rakyat di dua buah negara,” katanya.