Indonesia siasat kebocoran data 6 juta pembayar cukai termasuk Jokowi

Indonesia siasat kebocoran data 6 juta pembayar cukai termasuk Jokowi

 

Menteri Kewangan Indonesia, Cik Sri Mulyani Indrawati, telah mengarahkan siasatan menyeluruh dijalankan terhadap dakwaan kebocoran data sensitif pembayar cukai yang tersebar di Internet.

Laporan mengatakan bahawa sejumlah enam juta Nombor Pokok Wajib Pajak (NPWP) atau data cukai milik rakyat Indonesia telah bocor dan dijual dengan harga AS$10,000 ($12,940) di laman Breach Forum oleh seorang individu yang mengaku sebagai penggodam bernama ‘Bjorka’ pada 18 September.

Selain NPWP, data yang bocor turut merangkumi Nombor Induk Kependudukan (NIK), alamat e-mel, alamat tempat tinggal, nombor telefon dan maklumat peribadi lain.

Beberapa siri serangan siber melanda syarikat dan agensi pemerintah Indonesia sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dan pakar menyalahkan perlindungan lemah pemerintah terhadap data peribadi

Dalam kenyataan selepas menghadiri sesi parlimen Belanjawan Negara 2025 pada 19 September, Cik Sri Mulyani berkata:

“Saya telah menugaskan ketua pengarah pajak (agensi cukai) dan pegawai-pegawai berkaitan dalam kementerian untuk meneliti perkara ini. Ketua Pengarah Pajak (Suryo Utomo) dan pasukan IT akan memberikan penjelasan terperinci.”

Perkara ini mula mendapat perhatian setelah pengasas Ethical Hacker Indonesia, Encik Teguh Aprianto, berkongsi tangkapan skrin laman Breach Forum di platform media sosial X.

Dalam hantaran tersebut, individu bernama Bjorka dikatakan telah menyenaraikan 6 juta NPWP untuk dijual pada 18 September 2024, dengan harga yang ditetapkan iaitu 150 juta rupiah ($12,900).

Data yang bocor bukan sahaja melibatkan NPWP, malah NIK, alamat rumah, nombor telefon, alamat e-mel, dan maklumat peribadi lain.

Lebih mengejutkan lagi, data yang bocor itu dikatakan termasuk maklumat peribadi milik Presiden Joko ‘Jokowi’ Widodo dan dua anak lelakinya, Encik Gibran Rakabuming Raka serta Encik Kaesang Pangarep.

Kebocoran data turut melibatkan Cik Sri Mulyani sendiri dan beberapa menteri Kabinet lain seperti Menteri Komunikasi dan Informasi, Encik Budi Arie Setiadi; Menteri Badan Usaha Milik Negara, Encik Erick Thohir; Menteri Koordinator Pembangunan Manusia dan Kebudayaan, Encik Muhadjir Effendy; Menteri Agama Encik Yaqut Cholil Qoumas; Menteri Perdagangan, Encik Zulkifli Hasan; dan Menteri Koordinator Bidang Perekonomian, Encik Airlangga Hartarto.

Pasukan teknikal Pajak sedang giat menyiasat kebocoran itu. Cik Dwi Astuti, pengarah perhubungan awam Pajak, menyatakan bahawa pihaknya memandang serius perkara itu dan siasatan sedang dijalankan.

Selepas siasatan selesai, kementerian akan mengadakan sidang akhbar untuk memaklumkan perkembangan lanjut.

Pakar keselamatan siber, Encik Alfons Tanujaya, dari Vaksincom, turut mengesahkan data yang bocor kelihatan sahih.

Beliau memberi amaran kepada orang awam agar berhati-hati terhadap penipuan berkaitan cukai yang mungkin berlaku menggunakan data tersebut.