Mana lebih baik, pagi atau malam? Pakar dedah kebaikan mandi

Mana lebih baik, pagi atau malam? Pakar dedah kebaikan mandi

 

Mana lebih baik, pagi atau malam? Pakar dedah kebaikan mandi

Isu ‘mandi pagi’ menjadi perdebatan di media sosial seperti TikTok dan X sejak kebelakangan ini.

Topik ini timbul ekoran adanya dakwaan bahawa segelintir individu di Singapura tidak gemar mandi pada waktu pagi.

Perkara ini sebenarnya bukan sahaja berlaku di Singapura, malah menjadi amalan ramai individu di negara lain termasuk Malaysia.

Menurut pakar dermatologi, Dr Alok Vij, tiada jawapan tepat bagi semua orang sama ada mandi pada waktu pagi atau malam lebih baik.

Jelasnya, ini kerana pilihan terbaik bergantung kepada individu dan keutamaan masing-masing.

Berikut adalah kelebihan mandi pada waktu pagi:

1. Membersihkan badan – Linen katil anda mengandungi sel kulit mati, peluh, dan bakteria. Mandi pada waktu pagi membantu membersihkan diri sebelum anda mengenakan pakaian dan memulakan aktiviti harian.

mandi1

2. Tubuh lebih segar – Jika anda mahu memulakan hari dengan tubuh yang segar, mandi pagi adalah jawapannya. Aliran air yang berterusan juga dapat menghilangkan rasa mengantuk.

3. Mempersiapkan kulit untuk rutin penjagaan – Mencuci muka ketika mandi boleh membantu dalam rutin penjagaan kulit anda. Ia memastikan sisa solekan dari hari sebelumnya dibersihkan sebelum anda menggunakan toner atau pelindung matahari.

4. Mengatasi masalah rambut kusut – Kulit kepala menghasilkan minyak sepanjang hari, yang membantu rambut kekal berkilat dan sihat. Namun, apabila bercampur dengan tekanan dan geseran bantal semasa tidur, minyak ini boleh menyebabkan rambut menjadi leper atau kusut. Mencuci rambut pada waktu pagi dapat membantu anda mendapatkan gaya rambut yang lebih segar untuk sepanjang hari.

Menurut Dr Vij, salah satu cadangan daripada Persatuan Dermatologi Pediatrik dan Akademi Pediatrik Amerika ialah ibu bapa digalakkan memandikan anak mereka pada waktu malam sejak bayi untuk membantu menetapkan kitaran tidur yang normal.

Berikut adalah kelebihan mandi pada waktu malam:

1. Buang kotoran – Selepas seharian keluar bekerja atau ke sekolah, tubuh kita pastinya melekit dengan peluh dan pelbagai kotoran lain. Jadi, mandi pada waktu petang atau malam boleh membantu membersihkan segala kotoran, toksin yang boleh memberi kesan negatif kepada kulit.

2. Tidur lebih lena – Mandi malam boleh dijadikan sebahagian daripada rutin sebelum tidur kerana ia membantu tubuh bersedia untuk rehat yang berkualiti. Bagi sesetengah orang, mandi malam membuatkan mereka lebih tenang dan bersedia untuk tidur.

3. Menanggalkan sisa produk penjagaan kulit – Selain membersihkan badan daripada kotoran dan debu, mandi malam juga membantu menanggalkan produk penjagaan kulit seperti pelindung matahari yang digunakan sepanjang hari, membolehkan anda tidur dengan kulit yang bersih.