Pemandu kereta diserang sawan, rempuh pengunjung di Kea Farm

Pemandu kereta diserang sawan, rempuh pengunjung di Kea Farm
Seorang pemandu dipercayai diserang sawan sehingga keretanya hilang kawalan dan merempuh sekumpulan orang awam di Kilometer 67 Jalan KEA Farm, dekat Brinchang di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Superintenden Azri Ramli berkata nahas mengakibatkan empat orang pejalan kaki termasuk tiga kanak-kanak mengalami kecederaan akibat kemalangan.
Menurutnya kesemua mangsa telah diberikan rawatan di hospital serta dibenarkan pulang oleh doktor yang merawat.
”Siasatan awal polis mendapati pemandu kenderaan yang dari arah Brinchang itu telah hilang kawalan dipercayai diserang penyakit sawan lalu terbabas masuk ke bahu jalan sebelah kiri dan melanggar beberapa orang pejalan kaki.
”Hasil semakan mendapati pemandu tersebut tiada sebarang rekod saman serta hasil ujian saringan awal air kencing juga dapati negatif, bagaimana pun pemandu mempunyai rekod penyakit sawan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tangkap layar sebuah video yang tular di media sosial menunjukkan rakaman sebuah kereta meluncur laju lalu merempuh sebuah orang ramai di KEA Farm, di Brinchang dekat Cameron Highlands dalam kejadian 12 tengah hari tadi.
Susulan itu saman telah dikeluarkan oleh Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Cameron Highlands kepada pemandu.
Azri menasihatkan orang ramai tidak sesekali menularkan maklumat-maklumat yang tidak sahih.
”Sebarang maklumat boleh disalurkan terus di bilik gerakan (DCC) di talian 05-4915999 atau mana-mana balai polis dan ibu pejabat polis daerah yang berhampiran.
Difahamkan rakaman berkaiatn insiden tular insiden kira-kira pukul 12 tengah hari itu tersebar dalam laman sosial Facebook, khususnya dalam Group Informasi Cameron Highlands menunjukkan kenderaan yang meluncur laju di kawasan sesak tersebut.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi 33 saat yang memaparkan detik cemas ketika kereta jenis Perodua Myvi terbabit merempuh pengunjung yang sedang membeli-belah di tepi jalan.