“Kalau tak jadi, saya juga yang malu” – Erra Fazira
“Kalau tak jadi, saya juga yang malu” – Erra Fazira
Pelakon dan penyanyi jelita, Erra Fazira mengakui dia dan individu yang disifatkan sebagai mendamaikan dalam Instagram Story (IGs), semalam masih dalam fasa berkenalan.
Bagaimanapun, Erra atau nama sebenar, Fazira Wan Chek, 51, enggan mengulas lanjut sejauh mana hubungan mereka kerana enggan pisang berbuah dua kali.
“Berilah peluang. Kami baru nak kenal. Kalau boleh saya tak mahu komen banyak-banyak.
“Kalau tak jadi, saya juga yang malu,” katanya kepada BH Online.
Sementara itu, penyanyi yang meledak dengan lagu Yang Terindah Hanyalah Sementara itu menjelaskan, ucapan selamat ulang tahun ditujukan kepada seseorang yang istimewa itu tular hanyalah sebagai satu kejutan buat temannya itu.
“Secara umumnya, ia hanyalah ucapan selamat menyambut ulang tahun kelahiran buat rakan yang mungkin beri kejutan buatnya. Itu sahaja,” ujarnya.
Diusik ucapan yang seakan memberi bayangan jejaka misteri itu adalah seseorang yang turut dikenali media, Erra hanya tertawa.
“Allahuakbar! Terima kasih doakan yang baik-baik. Mudah-mudahan yang terbaik juga buat kita semua. Amin,” ungkap Erra.
Terdahulu, ucapan khas dibuat Erra dalam IGs seperti ditujukan kepada seseorang istimewa yang tidak didedahkan identitinya mencuri perhatian ramai.
Dalam hantaran di IGs, pelakon yang mula mencipta populariti menerusi filem Sembilu itu membuat ucapan ulang tahun kelahiran buat insan disifatkannya sebagai mendamaikan.
“Selamat ulang tahun buat kamu yang mendamaikan. Moga Allah perkenankan segala doa dan harapan yang terindah dalam kehidupan dunia dan akhirat,” tulisnya.
Mengiringi hantaran terbabit adalah lagu nyanyian Misha Omar berjudul Semoga Abadi.
Sebelum ini, Erra pernah digosipkan bercinta dengan penyanyi, Shahir Zawawi namun bintang program realiti nyanyian itu kini sudah berkahwin.
Terdahulu, Erra pernah berkahwin dengan Datuk Yusri Abdul Halim pada 2003, namun bercerai pada 2006.
Kemudiannya, Erra mendirikan rumah tangga Engku Emran Engku Zainal Abidin pada 2007 dan dikurniakan cahaya mata perempuan, Engku Aleesya, 16. Erra dan Engku Emran bercerai pada 2014.