Mayat kakitangan kerajaan ditemui terbaring di lantai pejabat dengan leher dan kaki terjerut

Mayat kakitangan kerajaan ditemui terbaring di lantai pejabat dengan leher dan kaki terjerut
Satu mayat lelaki ditemui terbaring di lantai pejabat Perbendaharaan, Kementerian Kewangan di Putrajaya hari ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, CP Rusdi Mohd Isa, berkata satu panggilan kecemasan diterima pada jam 10.56 pagi tadi yang memaklumkan terdapat seorang lelaki tidak sedarkan diri di situ.
Bertindak hasil maklumat orang ramai, katanya, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya pergi ke tempat kejadian dan menemukan mayat lelaki terbabit.
“Hasil pemeriksaan awal, si mati terbaring di atas lantai dengan leher dan kaki terjerut dengan pengikat kabel.
“Si mati berusia 45 tahun dan merupakan kakitangan jabatan berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Rusdi juga menyatakan polis tidak menemui sebarang unsur jenayah di tempat kejadian.
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
“Mayat mangsa pula dihantar ke Jabatan Forensik dan Patologi Hospital Putrajaya untuk dibedah siasat,” katanya.
Rusdi juga meminta orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berkenaan kes tersebut.
‘Terlalu awal untuk komen’
Sementara itu, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail ketika ditanya pemberita, berkata terlalu awal untuknya mengulas berkenaan kejadian itu.
“Memadai dengan kita menyerahkan kepada polis untuk memulakan siasatan terhadap insiden itu.
“Setakat ini telah awal untuk kita buat apa-apa kenyataan…sehinggalah pihak polis memulakan siasatan.
“insha-Allah, daripada perkembangan (siasatan nanti), saya akan minta polis untuk berkongsi dengan media berkenaan maklumat yang dianggap penting dan munasabah yang boleh dikongsi,” katanya di majlis berbuka puasa Kementerian Dalam Negeri di Putrajaya, hari ini.
Sumber: Malaysiakini