“Posting & komen dibuat dalam emosi” – Kakak pemandu Honda Jazz sebabkan kematian 2 beradik mohon maaf

“Posting & komen dibuat dalam emosi” – Kakak pemandu Honda Jazz sebabkan kematian 2 beradik mohon maaf
Kakak kepada pemandu kereta Jazz yang terlibat dalam satu kemalangan maut di Senawang, Negeri Sembilan membuat permohonan maaf secara terbuka menerusi hantaran di TikTok.
Menerusi perkongsian yang dibuat, gadis yang bernama Nur Athirah Najwa itu membuat permohonan maaf kepada keluarga mangsa yang terlibat serta rakyat Malaysia atas kenyataan yang dikeluarkannya berhubung kemalangan itu, baru-baru ini.
Athirah turut mengakui kenyataan dan komen yang dikeluarkannya itu telah menimbulkan kemarahan ramai pihak.
Assalamualaikum, saya Nur Athirah Najwa, kakak kepada pelaku yang terlibat dalam kemalangan di Senawang.
Saya ingin memohon maaf kepada pihak keluarga mangsa dan semua rakyat Malaysia atas posting dan komen yang keterlaluan sehingga membuat semua marah.
Saya sedar saya telah muat naik posting dan komen tersebut dalam keadaan yang emosi. Saya betul-betul minta maaf dan saya menyesal.
@bungaorkeddddddddddd Assalammualaikkum / Salam sejahtera . Saya kakak kepada pelaku kejadian kemalangan maut diSenawang tempoh hari ingin membuat PERMOHONAN MAAF bagi pihak keluarga mangsa dan seluruh rakyat malaysia atas keterlajuran kata kata saya tempoh hari. Saya mintak maaf saya tidak dapat mengawal emosi sewaktu itu. Saya betul betul menyesal atas kata kata saya yang lepas. Harap pihak keluarga mangsa dan juga rakyat malaysia dapat memaafkan saya. Salam takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat. #kakakhondajazz #permohonanmaaf #kemalanganmautsenawang
Terdahulu, Athirah menimbulkan kemarahan ramai pihak selepas memuat naik beberapa kenyataan yang seolah-olah mempertahankan adiknya susulan kemalangan yang berlaku.
Pada Khamis lalu, tular satu rakaman kamera papan pemuka (dashcam) melibatkan satu kemalangan jalan raya yang berlaku di persimpangan lampu isyarat Matahari Height, Persiaran Senawang 1.
Kejadian tersebut telah menyebabkan dua individu cedera parah manakala dua beradik lelaki yang menaiki motosikal jenis Modenas Kriss iaitu Muhammad Aidil Ramdan Abdullah dan pemboncengnya, Muhammad Aswari Lotpi disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Susulan kejadian itu, polis mengesahkan pemandu kereta Honda Jazz yang melanggar lampu isyarat yang telah mengakibatkan kemalangan maut itu tidak mempunyai lesen memandu.