“Kakak sakit, kakak dah tak tahan..” – Ibu peluk anak hidap kanser runtun hati ramai

“Kakak sakit, kakak dah tak tahan..” – Ibu peluk anak hidap kanser runtun hati ramai

 

“Kakak sakit, kakak dah tak tahan..” – Ibu peluk anak hidap kanser runtun hati ramai

“Kakak sakit, kakak dah (sudah) tak kuat, kakak dah tak tahan, ibu, kakak nak macam dulu…”

Itu rintihan Nur Umairah Mohd Fauzi, 11, yang menghidap barah darah atau leukemia kepada ibunya, Haida Pairan, 36.

Riak wajah Nur Umairah yang tidak tahan menanggung kesakitan dapat dilihat menerusi video dimuat naik Haida di TikTok baru-baru ini.

Menerusi video itu, kelihatan Nur Umairah memakai baju pesakit hospital menangis ketika meluahkan apa yang terpendam di hatinya, manakala Haida di sebelah cuba memujuk bagi menenangkan anaknya.

@allyshaaida

Ibu tau kakak kuat syg…🥹 #cancerfighter

♬ Pedihnya Hatiku – Jeki Jeksen

Perkongsian itu meruntun hati warganet dengan rata-ratanya sebak dan mendoakan Nur Umairah diberi kesembuhan.

Berkongsi kisah sebenar, Haida berkata, video itu dirakam dan dimuat naik di TikTok untuk kenangan serta pada masa sama tanda sokongan kepada pejuang barah di luar sana.

“Sebagai ibu, memang luluh hati saya melihat anak merintih dan tak sanggup rasanya tengok dia menangis kerana kesakitan.

“Tapi saya kena kuat menahan air mata supaya anak saya tak tahu dan nampak kedukaan saya.

“Lagipun, anak pernah tanya adakah dia penyebab semua orang sekeliling bersedih sebab dia sakit. Jadi sejak itu, saya berjanji dengan diri saya yang saya tak akan menunjukkan kesedihan di depannya,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Gambar kenangan Haida (kiri) dan Nur Umairah (kanan). FOTO Ihsan Haida Pairan

Bercerita lanjut, Haida berkata, Nur Umairah adalah anak sulung daripada tiga beradik, dilahirkan normal dan sebelum ini seorang kanak-kanak yang ceria selain aktif bersukan.

“Kakak (nama panggilan Nur Umairah) juga seorang pengawas, namun pada pertengahan November lalu, dia mula menunjukkan simptom seperti kerap demam yang lambat nak baik, nampak muka letih dan pucat serta ada kesan lebam pada badan.

“Melihat perubahannya yang ketara itu, saya dan suami (Mohd Fauzi Mahmud, 38) bawa anak ke klinik kesihatan kemudian lakukan ujian darah.

“Tak lama selepas itu, doktor hubungi saya untuk datang ke klinik beritahu keputusan darah tak normal dan minta rujuk ke hospital,” katanya.

Menurut Haida, hasil pemeriksaan lanjut terhadap sampel darah dan air tulang sumsum di hospital mengesahkan Nur Umairah menghidap barah.

“Penerimaan awal agak sukar malah saya amat terkesan sampai terasa nak pengsan kerana terkejut, tak boleh terima dan seolah tak tahu nak berpijak di mana.

“Suami awalnya positif tapi dia pun sedih dan sejak November lalu, kakak memang banyak hari tak ke sekolah kerana awal Disember lalu, dia mula menjalani rawatan kemoterapi yang sudah selesai empat sesi.

“Setakat ini, nampak dia okay lagi cuma emosinya agak ‘down’ kerana tanya kenapa keadaannya begitu dan rindu juga dengan kawan,” katanya yang kini menjaga Nur Umairah sejak anaknya dimasukkan ke Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini pada 21 Disember lalu.

Sebagai ibu, Haida sanggup menggantikan anaknya dengan menanggung kesakitan itu namun tiada pilihan melainkan menerima ketentuan Ilahi.

“Jujurnya, waktu awal dulu memang saya pernah persoalkan kenapa anak yang sakit, bukannya saya kerana berat untuk dia tanggung dalam usia muda, tapi perancangan Allah SWT itu lebih baik.

“Kalau saya sakit, macam mana dengan dia dan anak lain. Jadi sebagai ibu, saya akan terus galas tanggungjawab menjaga dan ikhtiar kerana nak tengok anak kembali sihat.

“Kekuatan saya dapat daripada anak dan orang sekeliling, iaitu suami, keluarga dan rakan, kerana ada yang sanggup datang daripada jauh untuk ziarah.

“Ikutkan, saya masih bekerja cuma di luar pejabat dan sehingga Mac depan serta berkemungkinan akan ditamatkan perkhidmatan kerana tidak dapat hadir (ke pejabat secara fizikal). Bagi saya, nyawa anak tak boleh dibeli, jadi mungkin ada rezeki lain di kemudian hari nanti,” katanya yang turut mengucapkan terima kasih kepada kakitangan HSA dan HSI atas layanan baik diberikan sepanjang anaknya menerima rawatan di situ.

Menurut Haida, buat masa ini, dia dan suami yang bekerja sebagai pemandu lori bersama mengeluarkan belanja untuk keperluan Nur Umairah termasuk lampin pakai buang.

Orang ramai yang berhasrat membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank bernombor 151071000777 atas nama Haida Pairan.