Akibat ‘kad pengenalan merah’, impian sertai tentera hampir hancur

Akibat ‘kad pengenalan merah’, impian sertai tentera hampir hancur

 

Akibat ‘kad pengenalan merah’, impian sertai tentera hampir hancur

Kesilapan teknikal ketika mendaftar kelahiran sehingga mendapat taraf pemastautin tetap atau kad pengenalan merah hampir menghancurkan impian Godfrey Chang untuk menyertai angkatan tentera pada 1965.

Bagaimanapun, dia tidak mengenal erti putus asa dan berusaha menukar kad pengenalan merah dimilikinya kepada kad pengenalan biru, sebelum diterima memasuki angkatan tentera darat pada usia 21 tahun.

Kehidupan Chang sebagai anggota tentera bermula di Maktab Tentera Diraja dan mengabdikan diri untuk mempertahankan kedaulatan negara selama hampir 20 tahun sebelum bersara dengan pangkat mejar.

“Datuk, mak dan bapa saya semua warganegara tapi kerana masalah teknikal, saya dapat kad pengenalan merah dan bila saya cuba masuk tentera mereka cakap tukar kad pengenalan dulu.

“Selepas diterima (masuk tentera) kita letak 10 cap jari atas kertas kontrak. Itulah satu sumpah yang saya ambil dengan megah hati, bermakna nyawa saya diberi kepada negara. Itu adalah janji saya kepada negara,” katanya yang kini berusia 76 tahun kepada FMT.

Sepanjang hampir 20 tahun berbakti kepada negara dan Chang terlibat dalam pelbagai operasi menentang komunis termasuk mengepung, mencari serta pernah diserang hendap oleh sekumpulan musuh di Sarawak pada 1972.

Patrick Wong

Patrick Wong Sing Nang yang cedera ditembak dalam operasi di Gopeng, Perak pada Disember 1977 menerima lawatan panglima tentera darat ketika itu Mohd Ghazali Mohd Seth.

Seorang lagi veteran tentera, Patrick Wong Sing Nang yang berkhidmat hampir 26 tahun dalam pasukan keselamatan negara berkata, nyawanya hampir melayang selepas parah ditembak musuh dalam satu operasi di Gopeng, Perak pada Disember 1977.

“Kami tumpaskan seorang musuh tapi dua anggota kami parah ditembak, termasuk saya sendiri dan dua lagi cedera ringan.

“Selepas dibedah saya ambil peluru itu dan jadikan ia sebagai azimat. Walaupun ia (peluru) hampir ambil nyawa saya, sekarang saya ambil ia (jadikan azimat),” kata pesara berusia 77 tahun itu yang menamatkan perkhidmatan dengan pangkat mejar.

Veteran tentera udara, Sam Munusamy, 77, turut mengimbau keberaniannya dan rakan-rakan melakukan operasi menyelamat menggunakan helikopter pada waktu malam, yang sangat jarang dilakukan ketika itu.

Sam Munusamy

Sam Munusamy menganggotai pasukan tentera udara dan pencen sebagai leftenan kolonel.

“Pada 1971, kami mendapat panggilan bahawa kami terpaksa pergi dan memindahkan dua askar yang parah dari hutan di Sarawak.

“Kerana operasi ini, mereka (dua askar yang cedera) masih hidup,” katanya.

Sam yang bersara dengan pangkat leftenan kolonel turut menasihati generasi muda supaya menjaga keamanan negara dan mengelak daripada sebarang pertelingkahan terutama dengan negara jiran.

“Saya rasa semangat Asean kita akan kekal kuat dan harap tidak ada pertelingkahan kerana dalam situasi perang, tiada pemenang,” katanya.

Chang juga mengingatkan ahli politik usah memainkan sentimen perkauman dengan sentiasa mementingkan kebajikan rakyat dan menguruskan negara dengan baik.

“Kalau betul-betul dengan sesungguh hati (mengurus negara) dan kalau mereka (pemimpin) ikut prinsip-prinsip dan pelajaran agama, Malaysia ini akan jadi bagus,” kata Chang.

Godfrey Chang

Godfrey Chang (tengah) bersama Sam Munusamy (kiri) dan Patrick Wong Sing Nang ketika menceritakan pengalaman mereka dalam angkatan tentera.