“Jual makanan tak berkualiti di bazar Ramadan, neraka Wail menanti peniaga” – Mufti
Ramadan adalah bulan untuk meningkatkan keikhlasan dalam diri terutamanya bagi peniaga di bazar. Namun, setiap tahun isu makanan yang dijual di bazar Ramadan tidak berkualiti dan rosak menjadi bualan.
Menurut laporan Malaysia Gazette, Mufti Pulau Pinang menjelaskan neraka Wail menanti peniaga yang melakukan penipuan termasuk menjual makanan tidak berkualiti.
Beliau menyatakan ada hadis Sahih al-Bukhari daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda barang siapa menipu (dalam perniagaan) maka dia bukanlah daripada golongan kami.
Erti hadis ini adalah seseorang yang menipu ketika menjual atau membeli beli sesuatu barang dengan tidak melahirkan keadaan sebenar barang jualannya kepada pembeli bererti dia telah melakukan satu penipuan.
Hukum perbuatan begini adalah haram di sisi syariat Islam dan di dalam al-Quran terdapat ancaman dengan Neraka Wail ke atas para peniaga yang menipu timbangan atau sukatan.
Wan Salim berkata, iman dan akhlak manusia kian terhakis dan ramai yang meminggirkan ajaran agama termasuk umat Islam.
Sepatutnya pada bulan yang mulia ini umat Islam banyak melakukan infaq dan memberi jamuan iftar kepada umat Islam yang berpuasa.
Mufti tersebut juga menyatakan tindakan peniaga tersebut akan termasuk dalam memakan harta manusia secara batil dan hukummya adalah haram.
Beliau juga menasihati supaya para peniaga insaf dalam urusan jual beli supaya kehidupan diberkati.