“Bayar RM1 pun saya buat, tak bayar pun saya buat” – Joe Flizzow

“Bayar RM1 pun saya buat, tak bayar pun saya buat” – Joe Flizzow

 

“Bayar RM1 pun saya buat, tak bayar pun saya buat” – Joe Flizzow

Joe Flizzow, 46, sanggup dibayar rendah atau keluarkan wang sendiri untuk kembali mengadakan persembahan bersama Malique Ibrahim yang juga rakannya dalam Too Phat.

Joe atau nama sebenarnya Johan Ishak berkata, dia sanggup berbuat sedemikian demi merealisasikan hasrat itu kerana banyak mendapat tawaran untuk menggandingkan mereka semula.

“Saya terbuka, awak bayar saya seringgit (RM1) pun saya buat. Tak bayar pun saya buat. Kalau saya kena bayar pun saya buat. Ia seperti pemain bola sepak tempatnya di padang dan anak seni tempatnya atas pentas dan ini adalah pentas pertama saya.

“Ini adalah tempat saya belajar semua dan tempat yang menjadikan saya sebagai saya. Sudah tentu kalau diberi peluang kembali ke pentas itu, saya terbuka. Saya dapat banyak ‘show’ (persembahan) bersama dia. Jumlah orang yang ‘offer’ (tawaran) memang tinggi.

“Kadang-kadang mungkin penganjur ingatkan duit boleh mempengaruhi keputusan saya,” katanya ketika ditemui.

Joe juga putus harapan agar impian itu akan terlaksana suatu hari nanti. Bagaimanapun, dia menghormati dan meletakkan keputusan itu kepada Malique.

“Saya konsisten, saya memang ada di sini dan saya tidak ke mana-mana. Saya menempuhi segalanya dan saya menjawab untuk semua pihak selama 20 tahun ini. Saya tak kata saya yang buat semua kerja tapi saya masih di sini. Insya-Allah akan terus berada di sini.

“Bagi semua yang tawarkan persembahan untuk Too Phat, insya-Allah kita doakan dan sekiranya Malique mendengar ini, saya boleh katakan keputusan di tangan dia kerana dia yang membuat keputusan. Saya bersedia,” katanya.

Terdahulu, Malique yang sekian lama menyepi akhirnya membuka akaun Instagram rasminya, Malique Ibrahim baru-baru ini. Akaun itu pantas meraih lebih 172,000 pengikut.

Namun, Malique atau nama sebenarnya, Cairel Edrin Ibrahim masih tidak berkongsi wajah terbarunya. Sebaliknya dia cuma memuat naik hantaran mengenai lokasi menarik dan gambar selebriti yang datang ke studio miliknya, Qarma Studios.

Kemunculan Malique dalam media sosial menjadi bualan ramai. Sejak bergerak solo selepas pembubaran Too Phat pada 2007, dia lebih selesa bekerja di belakang tabir.

Joe menyifatkan kemunculan Malique itu petanda bagus kerana masih konsisten di arena muzik. Dia tetap memberikan sokongan dan percaya memang sangat ramai ternanti-nantikannya.

Bagaimanapun, dia masih belum bertemu Malique. Justeru, dia enggan mengulas terlalu mendalam bagi mengelak berlakunya salah faham.

“Saya pun tidak mahu bercerita lebih sangat kerana tidak mahu membuat sebarang andaian dan sebagainya. Tapi ia adalah tanda ada jalan komunikasi dan ia adalah langkah positif yang menandakan dia masih di sini.

“Jujurnya saya terkejut kenapa perlu ‘hype’ sangat yang dia ada Instagram sedangkan sebenarnya tahun lalu dia ada projek lagu-lagu baru dengan artis-artis baru. Saya rasa itu yang patut menjadi tumpuan dan perbualan mengenai Malique seharusnya lebih berkisarkan mengenai lagu dia.

“Saya ada berbual dengan orang yang ada berhubung dengan dia mengenai perniagaan dan saya rasa ia satu perkara yang bagus. Saya mendoakan yang terbaik buat dia,” katanya.

Joe dan Malique menubuhkan Too Phat pada 1998 dan menjadi antara kumpulan hip hop yang mencipta fenomena ketika itu.

Namun pada 2007, kedua-mereka memilih untuk meneruskan kerjaya solo sebelum Malique menghilangkan diri.