‘Jika rasa anak jantan sangat, lawanlah Hamzah di Larut’ – Norizan Ali cabar Ketua Polis Negara

‘Jika rasa anak jantan sangat, lawanlah Hamzah di Larut’ – Norizan Ali cabar Ketua Polis Negara

Seorang ketua bahagian Bersatu mencabar Ketua Polis Negara (KPN) Abdul Hamid Bador yang akan bersara minggu depan supaya menyertai politik dan melawan Menteri Dalam Negeri yang juga Ahli Parlimen Larut, Hamzah Zainudin di kerusi Parlimen itu.

Ketua Bersatu Bahagian Kepong Norizan Ali menyifatkan tindakan Hamid mendakwa Hamzah campur tangan dalam urusan polis berhubung pelantikan pegawai atasan adalah pelik dan tidak wajar, ketika penggal perkhidmatannya sebagai KPN bakal tamat.

“Jika benar campur tangan itu kononnya telah berlaku sejak hari pertama Hamzah dilantik sebagai menteri dalam negeri, kenapa Hamid selama ini hanya berdiam diri?

“Mengapa hanya setelah nama penggantinya diumumkan, baru beliau mahu bersuara?” soal Norizan dalam kenyataan, merujuk kepada Acryl Sani Abdullah Sani yang menerima surat pelantikan sebagai KPN baharu daripada Hamzah pagi semalam.

Hamid berkata, beliau agak terkejut kerana berpandangan surat pelantikan itu boleh diserahkan Isnin depan, sehari sebelum beliau bersara secara rasmi.

Semalam juga, Hamid dilaporkan mendakwa Hamzah di sebalik pengeluaran “surat keramat” menyekat dua pegawai kanan polis ditukarkan.

Beliau berkata, Hamzah bertindak “angkuh” dan mengabaikan tanggungjawabnya dalam menggalas jawatan sebagai pengerusi Suruhanjaya Pasukan Polis.

Mengulas tuduhan Hamid terhadap Hamzah itu, Norizan berkata hari ini, ia menandakan Hamid sudah mencampuri urusan politik.

Oleh itu, beliau mencabar Hamid berkecimpung dalam bidang politik sepenuh masa dengan menyertai mana-mana parti yang disukainya.

“Kemudian, silalah tawarkan diri untuk bertanding dan jika rasa anak jantan sangat, lawanlah juga Hamzah di Larut dalam pilihan raya umum ke-15.”

Beliau berkata, tiada gunanya Hamid sekadar berani bercakap kepada media, tetapi tidak berani membuktikan dakwaannya sehingga ke “titisan darah terakhir”.

Katanya, tidak wajar Hamid menyerang Hamzah tanpa mengambil kira peranan dan kedudukan mereka yang sama-sama penting, ibarat aur dengan tebing.

“Janganlah mengutuk dan mencerca orang politik hanya kerana tidak berpuas hati atas sesuatu perkara yang dihajati, tetapi tidak berjaya diperolehi.

“Lagipun, bukankah Hamid sendiri sebenarnya sudah bersara sebelum ini dan khidmatnya sebagai ketua polis hanya berdasarkan kontrak semata-mata,” kata beliau. – FMT