“Saya sangat beruntung, rasa ia satu anugerah..” – Jep syukur dijodohkan dengan Sari Yanti
“Saya sangat beruntung, rasa ia satu anugerah..” – Jep syukur dijodohkan dengan Sari Yanti.
Pelakon dan pelawak, Jep syukur dijodohkan dengan Sari Yanti disamping turut memuji isterinya sebagai seorang yang sangat menyenangkan dan turut menjadi penenang kepadanya.
Menerusi satu hantaran di Instagram, sinar_my telah memuat naik satu video memaparkan Jep Sepahtu bersama Rahim dan Ray sedang diudara pada segmen Pagi Di SINAR di stesen radio SINAR.
Ketika sedang bersiaran, Jep mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat ulang tahun kelahiran buat Sari Yanti atau nama penuhnya Sari Yanti Binti Mohamad Nazari walaupun tarikh kelahiran isterinya adalah pada 9 November.
Dalam pada itu, Jep juga sempat memuji isterinya itu dan menyifatkan Sari Yanti sebagai seorang wanita yang sangat menyenangkan dan menenangkan buat dirinya.
“Saya nak ambik peluang ini untuk mengucapkan selamat ulang tahun kelahiran buat isteri tercinta saya, Sari Yanti, orang yang sangat menyenangkan, orang yang sangat menenangkan,” katanya.
Tambah pelawak berusia 39 tahun itu, walaupun dia kelihatan seperti seorang ketua keluarga namun Jep banyak merujuk dan belajar daripada Sari Yanti tentang kehidupan.
“Kadang-kadang, kita nampak macam kita ni ketua keluarga, tapi sebenarnya dalam beberapa hal itu, saya banyak merujuk dan juga belajar daripada dia,” ujarnya.
Pada masa yang sama, Jep juga menitipkan beberapa doa buat isterinya disamping menyelitkan doa agar keluarga mereka sentiasa bahagia dan diberikan keharmonian.
“Saya doakan yang baik-baik sempena ulang tahun kelahiran ini, dipanjangkan umur, dimurahkan rezeki, dikurniakan kesihatan yang baik, sentiasa di bawah redup rahmat dan mudah-mudahan mendapat redha-Nya.
“Mudah-mudahan keluarga kita dikurniakan kebahagian, keharmonian dalam rumah tangga kita. Happy birthday to you,” katanya.
Sebaik menghabiskan ucapannya, kedua-dua Rahim dan Ray bersorak disamping turut mengucapkan selamat ulang tahun kelahiran kepada Sari Yanti yang merupakan pelakon dan penerbit wanita di Malaysia.
Jep kemudian menambah, dia sangat bersyukur dan bertuah kerana dijodohkan dengan Sari Yanti dan menganggap perkahwinan mereka itu merupakan anugerah yang sangat bermakna.
“Saya sangat beruntung, Alhamdulillah, Allah jodohkan saya dengan Sari. Saya rasa ia satu anugerah, hadiah yang sangat bermakna untuk saya,” luahnya.
Sekadar info, Jep mendirikan rumah tangga bersama Sari yanti pada 25 Februari 2017 dan pasangan ini dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Dariya Inara, Muhammad Khidir dan Abu Bakr.
Sementara itu, Sari mempunyai dua lagi cahaya mata lelaki menerusi perkahwinan terdahulu bersama bekas suami, Mohd. Eddy Casmady Che Hussien iaitu Barr Al Aliy dan Baasit Al Haq.